KUALA LUMPUR – Tindakan tiga ahli parlimen DAP yang mahu Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin mulia meletakkan jawatan dilihat satu niat jahat selain cuba mengalihkan isu melibatkan Lim Guan Eng

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBCC), Tan Sri Shahrir Samad berkata, mereka mendakwa Pandikar Amin
menjadi sekutu untuk menutup skandal rasuah apabila menolak soalan atau usul berkaitan 1MDB dan kapal mewah milik Jho Low.

“Speaker sudah menjalankan tugas dengan baik tanpa menyekat soalan-soalan atau usul yang tidak menyalahi peraturan mesyuarat.

“Apatah lagi menyekat kebebasan seorang ahli wakil rakyat daripada menjalankan tugasnya sebagai ahli Parlimen Dewan Rakyat yang mulia itu,” katanya dalam satu sidang media di Parlimen hari ini.

Shahrir mengulas tindakan ahli parlimen DAP Taiping Nga Kor Ming, Ngeh Koo Ham (Beruas) dan V Sivakumar (Batu Gajah) yang membuat kenyataan Dewan Rakyat tidak sepatutnya menjadi “sekutu untuk menutup skandal rasuah”.

Mereka menuntut Pandikar meletakkan jawatan kerana menolak usul segera difailkan pembangkang berhubung rampasan kapal layar mewah milik ahli perniagaan Jho Low dan soalan berkaitan 1MDB.

“BNBBC melihat tuduhan tiga Ahli Yang Berhormat ini berniat jahat dan membuat takrifan bahawa Speaker melakukan kesalahan berat apabila dituduh sebagai “sekutu untuk menutup skandal rasuah.

“Serangan ahli parlimen pembangkang terhadap Speaker berhubung isu 1MDB bukan perkara baru, sebaliknya soalan-soalan berkaitan 1MDB dibangkit pada setiap sesi sidang Dewan Rakyat sebelum ini,” kata Shahrir.

Menurutnya, soalan-soalan berkaitan 1MDB memang dirancang kerana pembangkang berpendapat Speaker akan menolak soalan berkaitan kerana sebahagiannya adalah subjudis.

Katanya, bukan semua soalan atau usul berkaitan 1MDB ditolak Dewan Rakyat.

Sehubungan itu, Shahrir berkata pihaknya akan mencadangkan supaya kerajaan mengambil tindakan terhadap tiga ahli parlimen DAP itu kerana menghina Speaker dan Dewan Rakyat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast