Sallehen Mukhyi

KUALA LUMPUR- Selepas nampak tidak ada jalan lagi kerajaan Selangor memberi peruntukan semula kepada wakil rakyat Pas mereka akhirnya memutuskan untuk menulis surat kepada Istana Selangor.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi berkata, selain itu pihaknya juga akan menggesa Jabatan Audit Negeri dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat penahanan peruntukan tahunan untuk ADUN parti itu.

Ia dibuat kerana Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali masih enggan memberi kebenaran bertulis untuk ADUN Pas diberikan akses kepada dana itu.

Pembekuan RM800,000 untuk setiap wakil rakyat kerajaan negeri itu hanya melibatkan ADUN Pas dan dikatakan bertujuan mencantas khidmat mereka kepada penduduk setempat menjelang PRU-14.

“Kita akan ambil beberapa langkah selepas ini, termasuk menulis surat kepada Tuanku (Sultan Selangor). Yang kedua, kita akan minta Jabatan Audit Selangor membuat satu siasatan.

“Kalau masih tiada penyelesaian, maka kita mungkin akan buat sedikit pengaduan kepada SPRM untuk melihat unsur-unsur salah guna kuasa di peringkat eksekutif (kerajaan negeri),” kata Sallehen dipetik media hari ini.

Sallehen berkata kemelut itu sudah masuk bulan ketiga kerana pejabat Mohamed Azmin enggan mengeluarkan arahan bertulis kepada pegawai daerah untuk meluluskan dana yang dituntut oleh ADUN Pas untuk projek-projek mesra rakyat di kawasan mereka.

“Dia (Azmin) mengarah (pegawai daerah) secara lisan sahaja. Itu bukan cara urus tadbir dalam sesebuah kerajaan.

“Pegawai daerah (hanya) akan mengikut arahan bertulis yang sedia ada. Tetapi dengan arahan secara lisan, pegawai daerah pun tidak boleh mengeluarkan (dana tersebut),” kata Sallehen.

Beliau percaya keengganan Mohamed Azmin mengeluarkan arahan bertulis itu dipengaruhi pertimbangan politik.

“Pejabat Daerah (kata) dia kena rujuk kepada MB. Bila (rujuk) pada menteri besar, dia kata ia teknikal sahaja dan tolak balik pada pegawai daerah.

“Jadi ia semacam tolak-tarik, mungkin ia sengaja untuk melengahkan waktu sehingga Parlimen dan DUN bubar,” kata Sallehen.

Sallehen berkata siasatan Jabatan Audit Negeri dan SPRM perlu untuk mengenal pasti terdapat atau tidak kepincangan urus tadbir dan kemungkinan wujud penyelewengan kuasa melibatkan Pejabat Menteri Besar.- MalaysiaGazette

“Pengaduan kepada SPRM adalah untuk menyiasat sekiranya berlaku unsur salah guna kuasa di peringkat eksekutif dan pelaksana, kerana menjalankan arahan tidak bertulis,” kata beliau.-MalaysiaGazette