Ridzuan menyerahkan surat perlantikan jawatan sebagai Ketua Penerangan kepada Md Yusof pada sidang media di sini hari ini.

BANGI – Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira) mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak lebih tegas terhadap Lim Guan Eng berhubung isu terowong dasar laut.

Langkah itu perlu dilakukan memandangkan Ketua Menteri Pulau Pinang itu dilihat ‘kebal’ hingga boleh mengaitkan nama pihak lain dalam skandal yang dihadapi, kata Presiden Pekira, Mohd. Ridzuan Abdullah.

Menurut beliau, langkah Guan Eng mengheret Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dalam skandal yang dihadapinya itu merupakan satu tindakan yang tidak boleh dimaafkan.

“Walaupun SPRM telah membuat dua tangkapan terhadap individu yang terlibat dengan kes itu tetapi SPRM juga perlu panggil Guan Eng untuk disiasat ekoran projek itu membabitkan kerajaan DAP di negeri itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Mohd. Ridzuan, SPRM juga perlu menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh Guan Eng berhubung isu berkaitan dan tidak wajar membiarkan agensi itu dicerca oleh ketua menteri Pulau Pinang itu.

Mohd. Ridzuan berkata demikian sebagai mengulas laporan mendedahkan Guan Eng memaparkan wajah Abdul Azeez kepada pihak media dengan mempersoalkan langkah SPRM yang tidak menahan beliau mengenai perkara itu.

Bagaimanapun pada Selasa lalu, Abdul Azeez memberi tempoh selama empat hari kepada Guan Eng untuk menarik balik kenyataan fitnah mengaitkan dirinya terlibat menerima rasuah sebanyak RM3 juta daripada Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd.

Jumlah berkenaan didakwa dibayar Zenith kepada Abdul Azeez dan seorang ahli perniagaan, masing-masing berjumlah RM3 juta dan RM19 juta sebagai khidmat rundingan pengurusan risiko dan pematuhan peraturan berhubung projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer.

Abdul Azeez juga menuntut Guan Eng membersihkan namanya menerusi permohonan maaf secara terbuka di semua media arus perdana berdasarkan kontraktor terowong dasar laut itu telah menafikan beliau terlibat.

Pada sidang media hari ini, Mohd Ridzuan mengumumkan pelantikan Ketua Penerangan Pekira yang merupakan seorang ahli korporat iaitu, Datuk Md. Yusof Taib. – MalaysiaGazette