Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melakukan gimik perasmian sambil diiringi Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Seri Idris Jusoh dan Pengerusi PTPTN, Datuk Dr. Shamsul Anuar pada Sambutan 20 tahun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Pusat Konvensyen Sime Darby, Jalan Bukit Kiara, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 08 MAC 2018

KUALA LUMPUR- Tiada agama yang membenarkan penganutnya tidak melunaskan hutang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, apabila kerajaan mengambil tindakan undang-undang termasuk menyekat perjalanan peminjam Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) yang gagal membayar hutang mereka ternyata ia bukanlah satu bentuk kezaliman.

Sebaliknya menurut Ahmad Zahid, peminjam yang gagal membayar hutang itulah yang telah menzalimi diri sendiri.

“Mana ada agama yang ajar orang yang berhutang tidak membayar semula hutang mereka?

“Cuba sebutkan kepada saya mana hadis atau ayat Al-Quran mahupun Bible, Taurat atau Zabur yang membenarkan penghutang tidak membayar hutang mereka?,” katanya semasa berucap merasmikan majlis sambutan ke-20 tahun PTPTN di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, penubuhan PTPTN adalah manifestasi hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menyediakan peluang kepada mereka yang tidak mempunyai kemampuan ekonomi terutama dalam kalangan kumpulan berpendapatan rendah (B40) untuk memperoleh akses kepada pendidikan tinggi.

Katanya, ketika ditubuhkan 20 tahun lalu, Najib yang ketika itu adalah Menteri Pendidikan berhasrat untuk melaksanakan pendemokrasian pendidikan bagi membantu golongan kurang berkemampuan dan miskin melalui akademik.

Ini sekaligus menyediakan mobiliti sosial bagi meletakkan kumpulan itu dalam status sosial yang lebih tinggi.

Tambah Ahmad Zahid, kecemerlangan PTPTN mendorong banyak negara lain untuk belajar daripada Malaysia untuk menguruskan tabung pendidikan secara profesional sehingga dapat membantu 2.8 juta rakyat setakat ini.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast