KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Bhd. (TNB) menyelesaikan pengambilan alih 100 peratus kepentingan dalam Setia Haruman Sdn. Bhd. Technology Sdn. Bhd. (SHTech) dengan nilai pertimbangan tunai RM28 juta.

Urus niaga berkenaan dibiayai dana dalaman TNB.

TNB dalam satu kenyataannya di sini hari ini berkata, dengan selesainya pengambilan alih tersebut, SHTech kini merupakan sebuah anak syarikat milik penuh TNB dan akan meneruskan perniagaan sedia adanya sebagai penyedia perkhidmatan berkaitan teknologi maklumat.

“Ini merupakan inisiatif strategik yang diperkenalkan untuk mengukuhkan lagi kedudukan TNB di dalam penawaran perkhidmatan-perkhidmatan strategi dan tambahan.

“TNB merancang untuk meneroka pelbagai perkhidmatan lain seperti Meter Pintar, Rumah Pintar, Bangunan Pintar serta Industri dan Bandar Pintar,” katanya.

SHTech sebelum ini adalah anak syarikat milik penuh Setia Haruman Sdn. Bhd. yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan berkaitan teknologi maklumat sejak ditubuhkan pada Disember 1999.

Modal saham yang diterbitkan oleh SHTech adalah RM1.002 juta yang merangkumi 1.002 juta saham biasa.- MalaysiaGazette