Kedai serbanika 7 Eleven

KUALA LUMPUR- Keuntungan bersih 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd. bagi suku keempat berakhir Disember 2017 melonjak sebanyak 66.5 peratus kepada RM15.86 juta berbanding RM9.52 juta pada tempoh sama 2016 dipacu oleh peningkatan perolehan, margin keuntungan kasar lebih baik serta pendapatan operasi lain yang lebih tinggi.

Perolehan kumpulan bagi suku tersebut berkembang sebanyak RM22.6 juta kepada RM546.2 juta atau naik 4.3 peratus berbanding RM523.6 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Pertumbuhan perolehan dipacu oleh pembukaan kedai-kedai baharu, purata perbelanjaan setiap pelanggan yang lebih tinggi serta aktiviti promosi yang lebih baik.

Menurut syarikat itu, sejumlah 126 kedai baharu dibuka pada tahun lepas manaka 23 buah kedai pula ditutup menjadikan keseluruhan rangkaian kedai serbaneka itu adalah 2,225 unit setakat hujung Disember 2017.

Menyentuh mengenai prestasi setakat hari ini, keuntungan bersih adalah lebih rendah sebanyak 4 peratus berbanding 2016 disebabkan oleh isu-isu operasi yang dihadapi oleh penyedia perkhidmatan logistik pihak ketiganya yang mana ia telah menjejaskan syarikat semasa suku pertama tahun lepas.

Menurut 7-Eleven, persekitaran perniagaan pada tahun akan datang dijangka kekal mencabar.

Bagaimanapun, mereka tetap mengharapkan penambahbaikan akan berterusan pada suku hadapan disokong oleh strategi utama yang telah digariskan iaitu Kecemerlangan Operasi, Pengurusan Kos dan Inovasi Komersial.-MalaysiaGazette