Mengimbau kenangan, Dr. Ibrahim (kiri) menganugerahkan Bintang Pribumi Perkasa Negara kepada Sanusi (dua dari kiri) pada Persidangan Agung Perkasa tahun 2015.

KUALA LUMPUR – Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali menyifatkan pemergian Tan Sri Sanusi Junid ke rahmatullah awal pagi ini sebagai satu kehilangan besar kepada negara.

Beliau yang berkawan rapat dengan bekas Menteri Pertanian itu pernah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) pada tahun 1986 selepas Pilihan Raya Umum ke-7 (PRU7).

“Khas untuk arwah (Allahyarham) Tan Sri Sanusi Junid, sahabat saya yang akrab. Nostalgia bersama penuh suka duka dalam perjuangan berpuluh tahun lamanya. Mengenali arwah pada tahun 1972 semasa tahun pertama di ITM.

“Arwah pengasas ABIM dan lama memimpin MAYC. Kemudian mengasas Shamelin dan saya ikut ceramah dengan arwah mengenai Shamelin dan ceramah bangkit semangat Melayu Islam.

“Arwahlah mendorong saya memanjat tiang bendera kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Ampang, Kuala Lumpur sewaktu demonstrasi anti Amerika. Inilah demo pertama saya dan selepas itu saya menganjur berbagai demo,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sanusi yang juga bekas Menteri Besar Kedah meninggal dunia Subuh tadi pada usia 74 tahun dan jenazahnya akan dibawa ke Masjid Saidina Umar Bukit Damansara.

Menurut Dr. Ibrahim, beliau masih ingat betapa baik budi arwah kepadanya yang tidak boleh dilupakan sepanjang hayatnya.

Katanya, dua perkara baik itu ialah arwah mengizinkan pemimpin Kesatuan Siswa Institut Teknologi Mara (KSITM) tinggal dan beroperasi secara percuma selama sebulan di Hotel MAYC di Jalan Syed Putera.

“Ini selepas demonstrasi besar menuntut ITM dinaikkan taraf universiti pada 22 April 1974. Waktu itu arwah adalah timbalan menteri.

“Kedua, arwah melantik saya sebagai Pengerusi LKIM selepas PRU tahun 1986 iaitu penggal pertama saya menjadi Ahli Dewan Rakyat. Arwah membuat kenyataan terbuka di Dewan Rakyat bahawa saya adalah Pengerusi LKIM yang terbaik.

“Dengan jawatan itu, saya yang memperkenalkan tong ikan dari kayu kepada plastik dan turut memperkenalkan kaedah lelong ikan,” katanya.

Kata Dr. Ibrahim, dua kaedah baharu yang diperkenalkan itu pada mula mendapat bantahan nelayan, tetapi berpegang pada pendirian dan prinsipnya yang teguh, akhirnya ia berjaya dan dilaksanakan sehingga kini.

Menurutnya, beliau juga yang memberi idea kepada Allahyarham agar melaksanakan Permit AP untuk membawa masuk ikan dari negara jiran.

“Pada mulanya cadangan itu dianggap negatif, tetapi akhirnya arwah setuju. Banyaklah pengalaman suka duka yang menjadi kenangan nostalgia buat selamanya antara saya dan keluarga dengan Allahyarham Sanusi.

“Dan arwah sempat merasmikan Persidangan Agung Perkasa Kali ke-6 tahun 2015 di Dewan Muktamar Pusat Islam. Pada persidangan itu Perkasa menganugerahkan Bintang Pribumi Perkasa Negara kepada Allahyarham,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast