Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia, Tan Seri Dr. Rais Yatim menurunkan tandatangan pada majlis Perasmian Bangunan Wadi Budi UIAM di Bangunan Pusat Aktiviti Pelajar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 09 MAC 2018.

GOMBAK – Pemergian bekas Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Tan Sri Sanusi Junid hari ini dirasai warga universiti itu dan merakamkan ucapan takziah atas pemergian allahyarham.

Presiden UIAM, Tan Sri Rais Yatim berkata, seluruh warga universiti berdukacita dengan kehilangan bekas presidennya yang banyak menabur bakti dan sumbangan sehingga membawa nama institusi pendidikan negara itu terkenal ke seluruh pelosok dunia.

“UIAM merakamkan setinggi-tinggi rasa dukacita tapi pada masa sama berasa bahagia dan bertuah sebab mendapat dokongan yang awal daripada allahyarham Tan Sri Sanusi Junid, bekas Menteri serta bekas Menteri Besar Kedah dan bekas Presiden kami di UIAM,” kata beliau semasa ditemui selepas merasmikan Dewan Serbaguna Wadi BUDI di Kampus UIAM Gombak.

Terdahulu, warga universiti itu mensedekahkan Al-Fatihah sejurus menerima berita pemergian allahyarham pagi tadi.

Rais berkata, walaupun sudah tidak lagi bersama UIAM selepas bersara pada 2008, khidmat dan jasa bakti yang dicurahkan beliau sangat bermakna, antaranya kejayaan badan korporat UIAM Holding Sdn Bhd hasil cetusan idea allahyarham.

“Walaupun beliau bersara lebih dari sedekad, namun peranan beliau di UIAM ini sangat dirasai dan salah satu daripada jasa beliau menggerakkan badan korporat di UIAM sehingga UIAM Holding Sdn Bhd mendapat tapak yang bertenaga terus.

“Dalam soal keintelektualan Tan Sri Sanusi merupakan seorang yang ke depan sebab beliau seorang yang rajin membaca dan beliau tak silap saya memang cinta kepada bahasa, selain bahasa Melayu, Inggeris dan Tamil” katanya.

Sanusi, 75, meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri kira-kira jam 6 pagi tadi.

Terdahulu, Rais semasa merasmikan dewan baharu berkata, bangunan tersebut bakal menjadikan ia pusat sehenti bagi pelajar menjalankan aktiviti-aktiviti kokurikulum.

Ia akan berperanan sebagai platform untuk pelajar berkumpul bagi menjalankan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, program motivasi, aktiviti bersama murid sekolah, pengumpulan barang bantuan dan lain-lain lagi.

“Wadi ini mengambil istilah Islam di Timur Tengah, di mana ada perigi besar ada air dan tumbuhan kurma dan sebagainya, jadi ini dianggap sebagai tumbuhan budaya di sini kita mengutamakan latihan budi dan latihan itu akan kita adakan di kelas-kelas yang ada di sini

“Soal kini adalah kita terlalu bercelaru masyarakat kita, kita banyak bertembung pendapat dan pada masa bercakaran tanpa mempunyai sistem penilaian yang asas, hormat-menghormati kian lama kian hilang, hormat kepada jasa orang kian lama kian hilang tapi kita panggil diri kita muslim dan muslimah, bagi UIAM ini harus menjadi satu cabaran,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast