KUALA LUMPUR – Sasbadi Holdings Bhd. berjaya memperolehi kontrak menerbit dan mencetak tiga buku teks sekolah rendah jenis kebangsaan Cina tahun tiga daripada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dengan nilai keseluruhan sebanyak RM6.53 juta.

Dalam kenyataan di Bursa Malaysia hari ini, Sasbadi berkata, anak syarikatnya, Sasbadi Sdn. Bhd. (SSB) telah menerima dua surat penerimaan (LoAs) untuk menerbit dan mencetak buku teks Matematik bernilai RM2.89 juta dan buku teks Pendidikan Seni bernilai RM722,045.

Dalam pada itu, anak syarikat tidak langsungnya, The Malaya Press Sdn. Bhd. (TMP) telah menerima LoA daripada KPM untuk menerbit dan mencetak buku teks Bahasa Cina bernilai RM2.92 juta.

Ketiga-tiga kontrak itu adalah untuk tempoh dua tahun bermula 9 Mac 2018 sehingga 31 Disember 2020.

Menurut penerbit berkenaan, kontrak-kontrak berkenaan tidak memberi sebarang kesan kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2018 kerana SSB dan TMP dijangka menyempurnakan peringkat pertama kontrak bernilai RM3.95 juta pada suku pertama dan kedua tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2019.

“Justeru, kontrak-kontrak berkenaan hanya menyumbang kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2019 ke atas iaitu semasa tempoh kontrak berlangsung,” katanya. – MalaysiaGazette