SEREMBAN, 10 Mac (Bernama) — Dua maut manakala seorang cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan sebuah bas di Jempol, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 7.15 pagi di Jalan Serting Hulu, pemandu dan penumpang kereta terbabit, masing-masing berusia lingkungan 30an, meninggal dunia di tempat kejadian.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Sri Jempol Mohd Fahmi Abdullah berkata kemalangan dipercayai berpunca daripada bas pengangkutan awam tanpa penumpang yang terbabas sebelum merempuh kereta jenis Ford Telstar yang dinaiki tiga lelaki itu.
“Bomba mengambil masa kira-kira 45 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan.
“Kereta berkenaan dipercayai menghala Simpang Pertang, Jelebu dari Serting manakala bas itu dari Simpang Pertang ke Batu Kikir, Kuala Pilah. Bagaimanapun, pemandu bas berkenaan tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.-BERNAMA