Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bergambar kenangan bersama penerima-penerima anugerah pada Mesyuarat Agung Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dan Majlis Penyampaian Anugerah Balai Polis Cemerlang MCPF 2018 di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Lumpur, Cheras. foto AFFAN FAUZI, 10 MAC 2018.

KUALA LUMPUR – Kadar jenayah ringan yang sering berlaku menjadi penyumbang utama kepada persepsi negatif rakyat walaupun sebenarnya indeks jenayah di negara ini  semakin menurun.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, meskipun Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berjaya menangani dan menyelesaikan jenayah berat terancang namun pelakuan jenayah ringan telah ‘mencacatkan’ prestasi baik berkenaan.

“Kita lihat daripada taklimat yang diberikan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dalam mesyuarat exco dan perhubungan negeri tadi memperlihatkan bahawa kadar jenayah telah menurun dengan peratusan tinggi dan cukup baik.

“Kita akan menumpukan bukan hanya kepada jenayah-jenayah berat tetapi yang memburukkan persepsi dalam kalangan rakyat apabila jenayah-jenayah ringan berlaku.

“Usaha-usaha pembanterasan jenayah ringan ke peringkat minimum hendaklah dilakukan,” katanya yang juga Menteri Dalam Negeri ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-25 Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di Maktab Polis DiRaja Malaysia Kuala Lumpur, Cheras hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim dan Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye.

Ahmad Zahid selaku Pengerusi MCPF juga berkata, usaha untuk menurunkan kadar jenayah di negara ini tidak boleh dibebankan sepenuhnya kepada PDRM.

“MCPF menjadi jambatan utama antara rakyat dengan PDRM, memainkan peranan lebih aktif bagi menentukan soal penurunan kadar jenayah persepsi dalam kalangan rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast