Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek

JELEBU — Permintaan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang meminta Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengemukakan minit mesyuarat parti itu tidak perlu dilihat sebagai tindakan politik.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, permintaan RoS itu adalah kerana terdapat bantahan dan aduan daripada anggota PPBM sendiri.

“Sebahagian besar daripada akta berkaitan pertubuhan dibuat pada zaman (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir (Mohamad) sendiri, malahan UMNO juga pernah diharamkan kerana keputusan-keputusan RoS pada zaman beliau.

“Beliau (Dr Mahathir) tidak mahu campur tangan apakah keputusan yang dibuat RoS sehingga UMNO pernah diharamkan. Sebab itu kita katakan RoS satu badan bebas dan mempunyai kewibawaan sendiri,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ahmad Shabery yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai surat yang dikeluarkan RoS kepada PPBM yang meminta parti itu mengemukakan minit mesyuarat cawangan, bahagian, pusat dan perihal penyata kira-kira kewangan parti, Jumaat lepas.

ROS turut memberi tempoh selama sebulan untuk parti itu mengemukakan segala dokumen berkenaan.

UMNO pernah diharamkan pada 4 Februari 1988.

Terdahulu, Ahmad Shabery mengadakan lawatan projek penanaman nanas di Jelebu yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Jalaluddin Alias, Pengerusi Lembaga Nanas Malaysia, Datuk Samsolbari Jamali dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Bakar. – MalaysiaGazette