Home Nasional Tukar semua karpet masjid pilihan terbaik

Tukar semua karpet masjid pilihan terbaik

PETALING JAYA- Baru-baru ini tular di media sosial insiden Masjid Jamek Sungai Plong yang dicerobohi seekor babi hutan.

Kemudian ia diselesaikan dengan pembersihan dan proses sertu di kawasan masjid yang terjejas.

Karpet masjid di Sungai Buloh, Selangor itu pula digantikan dengan yang baharu membabitkan kos bernilai RM34,000, melalui sumbangan jemaah.

Apa yang menjadi isu masa kini adalah persoalan segelintir netizen yang menyifatkan karpet baharu itu sebagai satu pembaziran.

Menjawab kritikan berkenaan, Imam 1 masjid itu, Ungku Ahmad Hazwan Ungku Kamarudin berkata, terdapat beberapa pilihan bagi mengatasi masalah susulan insiden itu dan ia dibincangkan pihak masjid bersama Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Katanya, pilihan pertama adalah sertu pada karpet tetapi pihak masjid tidak mampu melakukan secara manual dengan tangan dan air, dan cara terbaik pembersihan menggunakan mesin.

Sertu ialah menyucikan sesuatu daripada najis mughalazah iaitu menyentuh anjing, babi dan keturunannya, atau terkena air liurnya.

Ini kerana katanya, haiwan tersebut memasuki ruang masjid dalam keadaan berdarah yang mengalir di bahagian leher dan mulut yang berlendir.

“Untuk sertu karpet secara manual memang boleh tapi membebankan pihak kami sebab kami tidak memiliki teknologi mesin tersebut.

“Ada syarikat yang tawarkan khidmat, namun bayarannya tidak kurang RM10,000 kerana kebanyakan ruang telah dicemari.

“Namun setelah mengadakan perbincangan yang panjang, kami memutuskan pilihan yang kedua iaitu menukarkan karpet baharu secara keseluruhannya kerana lebih mudah bagi kami,” dipetik Mstar Online.

Mengenai pilihan kedua, Ungku Ahmad Hazwan berkata, bahagian karpet yang terjejas akan dipotong dan dibuang dengan bantuan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), manakala baki yang masih elok disalurkan kepada institusi yang memerlukan.

Malahan katanya, tidak timbul isu pembaziran kerana terdapat beberapa pihak termasuk surau dan sekolah tahfiz berminat untuk menggunakan baki karpet tersebut.

“Kami di masjid ini, sumber pendapatan cukup-cukup menampung kos operasi. Malah kadang-kadang kos operasi lebih tinggi dari pendapatan sebab kami masjid kampung saja.

“Kami memang mengharapkan sumbangan orang ramai dalam menguruskan kewangan kami,” kata Ungku Ahmad Hazwan sambil menambah bahawa penyumbang dana dan pembekal karpet turut hadir semasa perbincangan tersebut.

Sehubungan itu, beliau berharap isu ‘pembaziran’ tidak dibangkitkan, termasuk mempertikaikan sumbangan individu yang sudi menghulurkan bantuan. – MalaysiaGazette