Yang Dipertua PAS Lembah Pantai, Dr. Azhar Ariffin berucap pada Majlis Minum Petang Dana PRU-14 dan Pelancaran Jentera Penerangan PAS Lembah Pantai di Bilik Gerakan Induk PAS Lembah Pantai, Bangsar, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 11 MAC 2018.

KUALA LUMPUR – Pas Lembah Pantai menyatakan keyakinan mampu menawan kerusi Lembah Pantai yang disandang selama dua penggal oleh Ahli Parlimen PKR, Nurul Izzah Anwar dalam pilihan raya umum ke-14.

Yang Dipertua Pas kawasan, Dr Azhar Ariffin berkata, dengan kekuatan dan jentera dimiliki, mereka mampu memberi saingan dan menawan kerusi Parlimen tersebut selepas kali terakhir bertanding pada 1995.

“Kita bersyukur, sejak 1995 kita tak bertanding di sini dan pada pilihan raya umum kali ini kepimpinan beri kepercayaan kepada Pas kawasan untuk meletak calon di sini.

“Insyaallah dengan kerja kuat dan jentera yang baik, kita mampu menawan kerusi Lembah Pantai ini dengan bakal calon kita Fauzi Abu Bakar dalam pilihan raya umum nanti,” kata Azhar semasa pelancaran jentera penerangan di Lucky Garden hari ini.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Syahir mengkritik Nurul Izzah sebagai seorang yang hanya pandai bercakap tapi tidak mampu menjalankan kerja dan menggesa supaya calon Pas diberi peluang.

Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berucap pada Majlis Minum Petang Dana PRU-14 dan Pelancaran Jentera Penerangan PAS Lembah Pantai di Bilik Gerakan Induk PAS Lembah Pantai, Bangsar, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 11 MAC 2018.

“Kita beri calon kita (Fauzi) peluang, Nurul Izzah ini setakat ceramah pandai cakap sahaja, tapi buat kerja untuk rakyat tidak boleh,” kata beliau semasa majlis sama.

Bagi Pengarah Jabatan IT Pas Pusat, Suhaimi Embong berkata, jika kena dengan strategi, kawasan Lembah Pantai mampu ditawan.

Berikutan itu, beliau menggesa akar umbi bekerja keras bagi memastikan kemenangan Fauzi.

Pengarah IT PAS Pusat, Suhaimi Embong bercakap kepada media selepas Majlis Minum Petang Dana PRU-14 dan Pelancaran Jentera Penerangan PAS Lembah Pantai di Bilik Gerakan Induk PAS Lembah Pantai, Bangsar, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 11 MAC 2018.

“Lembah Pantai ini sekiranya kena dengan calon, kena dengan strateginya, tidak mustahil ia akan jadi salah satu kerusi dimenangi dalam pilihan raya umum ke-14 oleh Pas,” kata beliau.

Menurut Suhaimi, kerahan dalam kalangan NGO bersama Pas juga akan digerakkan bagi membantu kempen di Lembah Pantai.

Sementara itu, Fauzi menyatakan kesediaan untuk menggalas tanggungjawab jika dipilih menjadi calon pada pilihan raya akan datang dan berharap diberikan peluang bagi menjalankan khidmat kepada rakyat di Lembah Pantai.

Calon PAS Lembah Pantai, Fauzi Abu Bakar berucap pada Majlis Minum Petang Dana PRU-14 dan Pelancaran Jentera Penerangan PAS Lembah Pantai di Bilik Gerakan Induk PAS Lembah Pantai, Bangsar, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 11 MAC 2018.

“Kebelakangan ini saya rasa perlu terlibat selepas melihat keadaan semasa dan persekitaran politik semasa terlalu membimbangkan,” katanya yang juga bendahari Pas di Lembah Pantai.

Dengan senario politik terkini, Lembah Pantai bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan Pas pada PRU14. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast