KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil didakwa keliru memahami manifesto Pakatan Harapan (PH) khususnya mengenai skim caruman untuk suri rumah apabila menyatakan golongan itu berisiko dikenakan cukai pendapatan.
Timbalan Ketua Wanita PH, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, Shahrizat mungkin tidak meneliti Skim Simpanan Persaraan 1 Malaysia (SSP1M) di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang turut meletakkan suri rumah dalam kategori golongan yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap.
Selain itu, katanya, sumbangan yang boleh dicarum dalam SSP1M pula tidak tetap dan bergantung kepada kemampuan kewangan, tetapi dengan amaun minimum RM50.
“Tidak timbul soal cukai pendapatan yang berkemungkinan dikenakan terhadap golongan suri rumah.
“Kewajipan suami untuk mencarum kepada isteri sebanyak dua peratus daripada caruman KWSP juga tidak boleh dianggap sebagai isteri pekerja kepada suami seperti yang didakwa Shahrizat,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Shahrizat pada Jumaat lalu mendakwa, langkah PH memperkenalkan simpanan KWSP untuk suri rumah dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) berisiko menyebabkan golongan itu akan turut dikenakan cukai pendapatan.
Ini kerana, menurut Shahrizat, mengikut perundangan bagi pendaftaran akaun KWSP, setiap individu mesti mempunyai sumber pendapatan yang dinyatakan jumlahnya.
Menurut Siti Mariah yang juga Ahli Parlimen Kota Raja, cadangan itu adalah antara beberapa langkah progresif PH untuk menyediakan pelan keselamatan kepada isteri dan anak sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini pada masa akan datang.
“Bagaimanapun, perlu dijelaskan bahawa caruman suri rumah yang PH perkenalkan ini cukup berbeza dengan SSP1M.
“Ini kerana merujuk manifesto PH, mengenai caruman suri rumah, mereka bakal menerima bantuan RM50 serta potongan dua peratus dari akaun KWSP suami setiap bulan.
“SSP1M pula ketika ini cuma menerima sumbangan daripada kerajaan sebanyak 15 peratus dari amaun caruman. Sumbangan itu pula terhad kepada jumlah maksimum sebanyak RM250 setahun,” katanya.
Beliau percaya, tawaran kebajikan itu mampu dicapai dengan syarat masalah rasuah, ketirisan dan sebagainya yang melibatkan kewangan negara segera dipulihkan apabila PH menguasai pentadbiran kerajaan pusat. – MalaysiaGazette