Model-model keluaran Perodua foto AFFAN FAUZI, 19 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR- UMW Holdings mungkin terpaksa membayar RM1.12 bilion tunai dan menerbitkan 49.3 juta saham baharu pada harga RM6.09 sesaham sebagai usaha untuk menyahsenarai MBM dan mengambil alih 10 peratus lagi kepentingan dalam Perodua daripada PNB Equity Resources.

CIMB Equities Research berkata, UMW merancang untuk mengambil alih keseluruhan kepentingan Med-Bumikar di dalam MBM Resources yang berjumlah 50.07 peratus dengan tawaran tunai RM2.56 sesaham atau RM501 juta.

MBM terlibat di dalam pengedaran dan penjualan jenama-jenama antarabangsa dan tempatan di Malaysia seperti  Perodua, Daihatsu, Hino, Mitsubishi, Volkswagen dan Volvo.

Sekiranya tawaran tersebut diterima, ia akan mencetuskan tawaran mandatori yang memerlukan UMW mengambil alih kesemua baki saham MBM.

“Secara asanya, UMW mungkin perlu membelanjakan RM1 bilion untuk mengambil alih 100 peratus kepentingan dalam MBM yang memberi penilaian terhadap syarikat itu sebanyak 10 kali ganda berdasarkan P/E tahun kewangan 2018.

“UMW juga akan mengambil alih tambahan 10 peratus kepentingan di dalam Perodua daripada PNB Equity Resources pada harga RM417.5 juta dengan memberi nilaian perodua pada nilai RM4.175 bilion.

“Urusniaga ini dijangka diselesaikan melalui terbitan 49.3 juta saham UMW pada harga terbitan RM6.09 sesaham dan wang tunai sebanyak RM117.5 juta,” katanya.

Dengan pengambilan alih tersebut, pegangan UMW di dalam Perodua akan meningkat kepada 70.6 peratus berbanding 38 peratus ketika ini.

Konglomerat tersebut masih belum memutuskan struktur pembiayaan mereka dan tidak menafikan ia mungkin dilakukan menerusi meraih dana ekuiti, pinjaman bank dan dana-dana dalaman.

Berdasarkan penyata kewangan terkini tahun kewangan 2017, tanpa Perodua, UMW dan MBM mempunyai gabungan hutang bersih sebanyak RM1.7 bilion dengan gearan bersih 37 peratus.

“Bagaimanapun, kami percaya UMW akan cuba mencari jalan untuk mendapatkan tunai bagi membiayai urusniaga tersebut dan mengurangkan kesan daripada kos pinjaman yang tinggi,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast