Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Gagasan Sejahtera (GS) memperkenalkan sembilan teras utama dalam manifestonya yang bakal menjadi tunjang dalam mengembalikan semula makna sebenar berpolitik.

GS yang disertai parti komponen seperti Pas, Berjasa dan Parti Ikatan Rakyat Malaysia (Ikatan) memperkenalkan teras itu dalam sidang media semalam adalah kesinambungan daripada mekanisma berpolitik berpandukan Budaya Matang dan Sejahtera (BPMS) yang telah lama diperkenalkan Pas.

Menurut Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan, ia disusuli dengan pengenalan solusi melalui Dokumen Hijau dan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS).

Katanya, sesetengah pihak berpandangan permainan politik hari ini terlalu jauh dari nilainya yang sebenar, tidak berpijak pada prinsip betul dan tidak menghairankan ramai mengambil sikap menjauhinya.

“Tetapi, politik Islam berpijak pada prinsip yang lebih teguh walaupun sering dikesampingkan keberadaannya dalam medan siasah kontemporari.

“Politik Islam datang atas nama ‘ubudiyyah’ iaitu ketaatan kepada Allah dan mengembalikan makna sebenar sifat ketaatan seorang hamba, masu’uliyyah iaitu tanggungjawab yang dipikul sebagai seorang yang diberi amanah, jauh dari soal membangga diri dengan pangkat dan jawatan dan itqan iaitu bersungguh-sungguh dalam menunaikannya,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut beliau, inilah prinsip utama dalam pemerintahan kerajaan Kelantan sejak dipimpin Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang diteruskan legasinya sehingga kini yang turut mendapat pengiktirafan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai negeri yang bersih dan bebas dari rasuah.

Tambahan pula, katanya, laporan Ketua Audit Negara 2016 menunjukkan Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kelantan memperolehi markah 99 peratus dalam laporan berhubung prestasi pengurusan kewangan berdasarkan indeks akauntabiliti jabatan dan agensi pada tahun itu.

“Inilah makna sebenar sebuah prinsip dalam berpolitik. Maka GS mengambil pendirian sama memperkenalkan prinsip atau teras utama bagi mengembalikan makna sebenar politik di tanah air ini,” katanya.

Nasrudin berkata, sembilan teras utama itu ialah pembentukan sebuah kerajaan yang berintegriti, beramanah serta bebas daripada korupsi; dan penambahan pendapatan boleh guna serta penjanaan peluang baru untuk rakyat.

Katanya, teras ketiga ialah pemberdayaan rakyat untuk meredakan kesan peningkatan inflasi dan kenaikan kos sara hidup; pengurangan jurang agihan pendapatan dan kekayaan ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar; dan peningkatan kualiti pendidikan ke arah pembinaan modal insan cemerlang.

“Manakala teras keenam pula ialah pengharmonian sistem perundangan dan tadbir urus negara selaras dengan kehendak syariah dan pengukuhan semula konsep federalisme dengan mengembalikan hak-hak tertentu kerajaan negeri.

“Bagi teras kelapan dan kesembilan ialah pemerkasaan suara rakyat selaras dengan tuntutan syura dan amalan demokrasi dan penambahbaikan keberkesanan sistem sokongan sosial untuk golongan yang memerlukan,” katanya.

Beliau seterusnya berkata, manifesto GS bertemakan ‘Malaysia Sejahtera’ adalah masa depan negara yang diimpikan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast