Gambar hiasan

SEPANG – Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) hari ini mengumumkan pertambahan tren miliknya bagi meningkatkan keupayaan perkhidmatannya dalam masa terdekat.

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, usaha ERL bagi menambah trennya amat dialu-alukan kementerian dalam usaha mengurangkan masa menunggu pelanggannya.

“Setelah mebawa lebih dari 88 juta penumpang sehingga kini, ERL terus membantu meredakan jaringan jalan raya dengan memberikan altenaftif yang sangat baik.

“Dengan tren baru, saya percaya ERL menawarkan nilai yang lebih baik dan ini penting untuk menarik lebih banyak orang untuk berpindah ke pengangkutan awam,” katanya selepas melancarkan tren baharu itu di Lapangan Terbang Antarbangsa KL (KLIA), hari ini.

Justeru itu jelas Tiong Lai, penambahan tren ERL ini akan mengurangkan tempoh menunggu kepada setiap 15 minit daripada kekerapan setiap 20 minit semasa waktu puncak sebelah pagi dan petang sebelum ini.

Sejumlah enam tren baru dibeli daripada Changchun Railway Vehicles Co Ltd (CRRC) berpangkalan di China yang akan digunakan bagi perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit.

Tren baharu ini akan mempamerkan sentuhan baru dengan memaparkan hiasan bermotifkan songket di luar tren berkenaan.

Antaranya motif pucuk rebung, tapak sulaiman dan bunga pecah lapan.

Untuk rekod, ERL kini mempunyai 12 tren bagi menampung penggunaan pengguna dari stesen KL Sentral ke KLIA.