SEPANG – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak perlu lari daripada mengadakan debat dengan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Guan Eng tidak perlu memberikan pelbagai alasan kepada rakyat dalam kontroversi projek terowong dasar laut di negeri berkenaan.
“Guan Eng tidak sepatutnya alih perhatian dari isu terowong dari Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong. Beliau mempersoalkan tentang isu terowong dan ini perkara yang penting Guan Eng kena jawab.
“Ini tidak berkaitan dengan apa jawatan anda tetapi kami desak jawatan dari Guan Eng,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan tren terbaharu KLIA Express di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Khamis lalu, Guan Eng membuat kenyataan bahawa Ka Siong tidak setaraf dengan beliau dalam mengadakan debat berkenaan.
Malah Setiausaha Agung DAP itu berkata, beliau tidak mahu merendahkan martabatnya dengan menyahut cabaran debat oleh pemimpin nombor dua MCA.
Jelas Tiong Lai, tindakan Guan Eng mencerminkan beliau tidak telus dalam mendedahkan isu ini kepada rakyat.
“Ini menimbulkan lebih banyak keraguan kepada rakyat bahawa ada perkara yang dia cuba sembunyikan. Dia tidak telus sedangkan dia berpegang kepada prinsip kerajaan telus sebelum ini.
“Guan Eng tolonglah jawab isu ini kepada MCA, tidak perlu lari dari selesaikan isu ini,” katanya.
Ka Siong yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum ini beberapa kali mencabar Guan Eng untuk berbahas mengenai projek terowong dasar laut bernilai lebih RM6 bilion yang mencetuskan kontroversi dan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). – MalaysiaGazette