Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menyampaikan cek sumbangan PDRM Night Run kepada penerima dan juga Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Tropicana Corporation Berhad, Datuk Dickson Tan pada Majlis Penyerahan Cek Sumbangan PDRM Night Run 2018 dan majlis Penghargaan Pasukan Hoki Wanita PDRM di Mes Pegawai Kanan, Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 13 MAC 2018.

KUALA LUMPUR – Polis mengenalpasti sebahagian daripada 3,871 pemilik akaun Facebook yang disyaki merekrut ahli dan menyebarkan fahaman Daesh di media sosial di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, ada sebahagian suspek yang dikenalpasti telah diambil tindakan dan selebihnya sedang dipantau.

Katanya, polis menerusi Pusat Tindakan Mesej (Counter Messaging Centre-CMC)) akan terus memantau pergerakan dan segala aktiviti militan itu dalam media sosial Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya.

“Ini adalah satu kejayaan luar biasa yang dicapai PDRM kali ini. Pada masa yang sama kita juga akan membuat pemantauan berterusan secara serius dalam isu ini.

“Malah pegawai-pegawai yang dipertanggungjawabkan CMC akan menangani isu berkenaan akan memantau dalam media sosial Facebook sama ada aktiviti penyebaran dan pengrekrutan itu dibuat secara berkumpulan atau dari luar negara,” katanya ketika ditemui pemberita di Mess Pegawai Kanan PDRM di Bukit Aman di sini.

Beliau merasmikan Majlis Penyerahan Cek Sumbangan PDRM oleh penaja-penaja kepada Night Run 2018 dan Penghargaan Pasukan Hoki Wanita PDRM hari ini.

Mohamad Fuzi berkata demikian setelah diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Masir Kujat di Dewan Rakyat hari ini berhubung sebanyak 3,871 akaun Facebook yang kini dipantau oleh CMC polis sebagai menjawab soalan tambahan pertanyaan lisan Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor).

Mohamad Fuzi juga memaklumkan polis sememangnya mengawal Facebook dan akaun baharu setiap pemilik berkaitan isu ini.

Ditanya mengenai sejauh mana keberkesanan CMC, beliau berkata, polis mendapat perkembangan positif berkaitan diskriminasi ideologi Daesh yang mensasarkan pemuda dan pelajar sekolah di negara ini.

“Dari sini Pusat CMC kita memberi keputusan positif kepada PDRM mengambil tindakan selanjutkan terhadap ideologi yang tidak menepati kehendak keselamatan negara kita,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu, Dewan Rakyat hari ini memaklumkan bahawa seramai 249 individu tempatan dan asing yang disyaki menrekrut ahli untuk aktiviti keganasan melalui media sosial telah berjaya ditahan setakat ini.

Ini melibatkan 240 orang yang menjalankan modus operandi mereka melalui Facebook, lapan melalui Twitter manakala seorang lagi melalui Instagram.

Malah Masir Kujat juga menjelaskan, sebanyak 800 akaun telah disekat, di Twitter, 76 individu telah dipantau dan sembilan akaun disekat, manakala di Instagram, sebanyak 72 individu sedang dipantau. – MalaysiaGazette