Mahdzir Khalid
Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR – Polisi ‘kemanusiaan’ meskipun tidak termaktub dalam dasar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), namun aspek kebajikan para guru sentiasa menjadi keutamaan kerajaan termasuk isu guru terpaksa berjauhan dengan pasangan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya mempunyai program untuk menghantar semula guru kembali bersama pasangan masing-masing bagi memastikan hubungan kekeluargaan mereka terjamin.

“Kita ada program untuk membolehkan guru, suami dan isteri sudah lama duduk berjauhan boleh kita balikkan sekali duduk dekat. Kita masuk elemen itu dalam kementerian, kita reka sendiri elemen itu yang dipanggil ‘kemanusiaan’.

“Ini masuk dalam program ketua pengarah KPM. Masa saya mula masuk itu memang ada tujuh hingga sembilan tahun (guru duduk berjauhan pasangan).

“Sehingga kini kira-kira 16,000 guru telah dikembalikan kepada pangkuan keluarga mereka dan proses itu akan dilakukan setiap tahun,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Transformasi Digital Kementerian Pendidikan Malaysia – ke Arah Pembelajaran Abad ke-21 di Pusat Konvensyen TM, di sini, hari ini.

Mahdzir dalam ucapan perasmiannya berkata, ramai tenaga pengajar menemui beliau memohon untuk dipindahkan ke sekolah berdekatan dengan pasangan masing-masing, khususnya guru yang berkahwin selepas ditempatkan di luar bandar.

Menurut Mahdzir, proses menghantar para guru kepada pasangan masing-masing hanya akan dilakukan pihaknya sekiranya menerima permohonan.

“Ada yang sudah duduk berasingan lebih lapan tahun sudah selesa duduk di luar bandar dan tidak pula mereka memohon untuk dipindahkan berdekatan dengan pasangan,” katanya.

Katanya, kini pihaknya sedang memproses baki 30,000 permohonan membabitkan 7,000 guru yang akan dipindahkan menjelang Mei ini.

“Sekarang ini baki ini di bawah lima tahun, kita nak kurangkan jumlah yang berasingan ini. Mereka ini masa posting, baru kahwin, lepas itu dapat anak, baru dia mohon pindahkan duduk sekali dengan pasangan.

“Tahun ini ada lagi pada Jun ini posting akan berlaku, jadi Mei ini kita akan proses permohonan kembali pasangan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast