Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mencuba salah satu aplikasi "smart classroom" pada Majlis Pelancaran Transformasi Digital Pembelajaran Abad Ke 21 di Pusat Konvensyen TM, Bangsar. foto SAFWAN MANSOR, 13 MAC 2018

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) sudah lama menjadikan sekolah kebangsaan dan menengah milik kerajaan sebagai sekolah pilihan majoriti rakyat di negara ini berbanding sekolah antarabangsa.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tidak hairan apabila Pakatan Harapan (PH) menerusi manifestonya mahu melakukan perkara sama yang dilakukan kerajaan BN dan ia bukan sesuatu yang baharu.

“Sekarang pun jadi pilihan rakyat. Kita ada 5.2 juta pelajar yang berada di sekolah kerajaan. Dalam pengiraan kita, untuk sekolah antarabangsa dan sekolah persendirian di Malaysia, pelajar lebih kurang 140,000 orang.

“Ini bermakna ramai pelajar dalam sekolah awam milik kerajaan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Transformasi Digital Kementerian Pendidikan Malaysia – ke Arah Pembelajaran Abad ke-21 di Pusat Konvensyen TM, di sini, hari ini.

Beliau mengulas manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 PH melalui Janji 49 antara lain menjadikan sekolah-sekolah kerajaan sebagai sekolah pilihan terbaik untuk rakyat.

Manifesto pembangkang melalui Janji 50 mahu mengembalikan wibawa universiti awam dan pengajian tinggi.

Mahdzir turut menyindir hasrat pembangkang yang mahu menjadikan sekolah kerajaan sebagai sekolah pilihan rakyat sebenarnya sesuai dengan usia parti mereka yang baru ditubuhkan.

“Kalau Pakatan Harapan kata nak bagi sekolah pilihan tapi kita sudah buat lama. Sebab dia pun baru tubuh Pakatan, dia baru nak buat, jadi biarlah mereka buat (kalau menang).

“Saya nak maklum kita sudah buat lama,” katanya.

Beliau berkata, sekolah kerajaan saban tahun jadi pilihan utama ibu bapa kerana kerajaan sentiasa memastikan sekolah diselenggara dengan baik dan meningkatkan kualiti tenaga pengajar.

“Kita setiap tahun ada penyelenggaraan sekolah, tingkatkan kualiti guru. Malah ada guru datang dari kolej latihan dan mempunyai ijazah.

“Kita spesifik guru untuk pendidikan awal kanak-kanak, guru untuk sekolah menengah, kita ambil tenaga pengajar bukan ikut suka.

“Ada pengkhususan perguruan, kemudahan sekolah kita pertingkatkan dan kita beri keutamaan kepada keselamatan dan displin,” jelasnnya.

Katanya, kementeriannya tidak boleh ‘memaksa’ ibu bapa khususnya di kawasan bandar dan berkemampuan untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah antarabangsa atau sekolah persendirian.

“Majoriti pelajar Melayu, Cina dan India, atau Bumiputera dari Sabah dan Sarawak, berada di sekolah kerajaan kecuali mereka pergi ke sekolah antarabangsa yang berada di kawasan bandar.

“Itu kita tak boleh halang sebab dari segi kemampuan ekonomi dan dia nak kepada kebolehhubungan kepada hubungan antarabangsa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast