Home Nasional Pembangkang cakap tak serupa bikin dalam isu bocor data peribadi – Azeez

Pembangkang cakap tak serupa bikin dalam isu bocor data peribadi – Azeez

Azeez
Abdul Azeez Abd Rahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menyelar parti pembangkang yang memperjuangkan isu kebocoran data peribadi di dalam Dewan Rakyat namun menjadikannya mangsa fitnah berkaitan dengan terowong dasar laut Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Baling itu berkata, tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mendakwa Azeez menerima RM3 juta daripada pemaju projek terowong dasar laut negeri itu membuktikan pembangkang ‘cakap tidak serupa bikin’.

Bahkan, kata Abdul Azeez, pembangkang merupakan dalang pembocoran data peribadi.

“Kalau kita tengok berkenaan intergriti pihak pembangkang pagi-pagi lagi tanya soalan kepada menteri beria-ia tentang pembocoran maklumat, padahal saya sendiri menjadi mangsa daripada kebocoran dan difitnah oleh Ahli  Parlimen Bagan (Lim Guan Eng). Merekalah yang memerjuangkan di dalam ini tapi cakap tak serupa bikin di luar.

“Merekalah orang pertama memfitnah menuduh dan sebagainya. Saya cabar Ahli Parlimen Bagan minta maaf, tapi tidak minta maaf, saman tetap saman,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian apabila Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari menjawab soalan daripada Teo Nie Ching (DAP-Kulai) berkaitan siasatan terhadap kebocoran data peribadi membabitkan 46.2 juta pelanggan telefon mudah alih di negara ini sejak tahun 2014.

Menurut Jailani, tiga kes pendakwaan telah dibuat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) pada tahun lalu berkaitan dengan kebocoran data peribadi.

Manakala setakat Mac tahun ini, kata Jailani sebanyak lima kes  didakwa untuk kesalahan yang sama termasuklah mengenakan denda.

Beliau berkata, sikap masyarakat pada masa kini yang suka suka berkongsi data peribadi turut menjadi penyumbang berlakunya kebocoran maklumat peribadi. – MalaysiaGazette