Naib Presiden Pas, Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Pas, Idris Ahmad mencabar ahli terbaharu Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Mahfuz Omar agar menamakan kawasan milik parti itu yang didakwa akan mengundi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) kelak.

“Cuba bagitahu ahli kawasan mana? Kami pun masih ramai ahli.

“Tidak ada (ahli Pas yang keluar parti),” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Mahfuz yang mengumumkan menyertai PAN setelah tiga bulan meninggalkan Pas mendakwa ada pengundi parti itu yang masih mahu berada dalam Pas tetapi akan bertindak mengundi gabungan PH pada PRU-14 kelak.

Mahfuz sebelum ini berkata banyak penyokong parti itu yang mahu kekal dalam parti, tetapi akan mengundi PH.

“Pas sering ungkap mereka ada  141,000 ahli baru dalam tempoh 2013.

“Sebenarnya ia satu cawangan empat orang sahaja yang sertai Pas. Pertambahan setahun empat orang untuk politik kuasa tak mampu bawa perubahan masa depan politik,” kata Mahfuz dalam satu sidang media awal hari ini.

Ditanya mengenai berita kemasukan Mahfuz dalam PAN, Idris berkata, ia bukan sesuatu yang mengejutkan buat kepimpinan Pas.

“Bukan satu berita mengejutkan Mahfuz umum masuk PAN.

“Saya tidak mahu komen pasal dia enggan jadi calon PRU-14, kerana itu bukan urusan Pas,” jelas Ahli Parlimen Bukit Gantang itu. – MalaysiaGazette.