Home Nasional Program RPEL tingkatkan hidup kumpulan B40

Program RPEL tingkatkan hidup kumpulan B40

Richard Riot Anak Jaem

KUALA LUMPUR – Skim Pengiiktirafan Pencapaian Terdahulu (RPEL) akan membantu kumpulan B40 meningkatkan kualiti hidup menerusi latihan semula kemahiran bagi membolehkan pelatih memohon pekerjaan.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem berkata, program tersebut memberi pengiiktirafan kepada pesara-pesara kerajaan yang memiliki kemahiran sepanjang khidmat mereka dengan menganugerahkan diploma Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

“Ia memberikan peluang yang mungkin tidak tersedia sebelum ini, termasuk pilihan untuk meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya dan kebolehpasaran yang lebih baik.

“Ingin saya tekankan pentingnya untuk melabur dalam bidang pendidikan dan latihan semula kemahiran, peningkatan kemahiran dan pelbagai kemahiran baharu bagi menyokong kemahiran sedia ada kerana dapat meningkatkan mobiliti sosial dan kesejahteraan rakyat,” katanya semasa menghadiri majlis graduasi RPEL di PWTC hari ini.

Seramai 1,000 orang graduan terdiri daripada Persekutuan Pusat Bertauliah JPK Malaysia (FeMAC) dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) menerima sijil masing-masing.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Sumber Manusia (PSMB), Datuk Vignaesvaran Jeyandran berkata, RPEL akan meningkatkan kebolehpasaran kumpulan B40, selain mendapat tawaran gaji yang lebih tinggi.

“Skim ini dapat membantu tenaga kerja daripada kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah untuk memperolehi kelayakan juga mengiktirafan mereka yang tidak mempunyai sijil kelayakan,” katanya.

Program RPEL yang melibatkan kumpulan veteran tentera bermula tahun lalu hasil inisiatif Kementerian Pertahanan dengan kerjasama PSMB dan PERHEBAT.

Seramai 7,328 pelatih telah dipilih dari seluruh negara dipilih untuk menyertai program RPEL. – MalaysiaGazette