Home Nasional SPRM tahan 7 anggota penguat kuasa MPK

SPRM tahan 7 anggota penguat kuasa MPK

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tujuh anggota penguatk uasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1,000 daripada seorang pengusaha kafe siber yang beroperasi tanpa lesen di Klang.

Kesemua mereka yang berusia antara 31 hingga 42 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Klang pada pukul 1.45 petang, semalam.

Menurut sumber, dalam kejadian pada 21 Oktober tahun lalu itu, anggota penguat kuasa MPK telah membuat pemeriksaan lesen terhadap kafe siber terbabit dan mendapati premis tersebut tidak mempunyai lesen hiburan.

“Bagaimanapun, penguatkuasa MPK terbabit telah meminta dan mengambil wang sebanyak RM1,000 daripada pengusaha supaya tiada sebarang tindakan undang-undang dikenakan terhadap premis itu,” kata SPRM dalam satu kenyataan hari ini.

Salah seorang suspek telah dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas dirakam percakapan, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memberitahu, pihaknya kini dalam proses merakam percakapan kesemua individu terbabit bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, mahkamah Klang telah mengeluarkan perintah reman terhadap semua suspek untuk disiasat mengikut seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette