Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menerima mengadap Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di Istana Pasir Pelangi. foto Johor Southern Tigers

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkata, baginda mengampuni Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang sebelum ini mengaitkan Tunku Mahkota, Tunku Ismail dan Istana Johor dalam isu politik.

“Sebagai manusia biasa kita pasti ada buat silap. Jadi bila sedar sudah silap, cepat-cepatlah minta maaf. Jangan sampai berpecah-belah. Tambahan pula kita orang Melayu sangat beradab. Jika buat salah, datang mengadap dan mohon ampun.

“Apa jua kemelut yang berlaku sebelum ini saya sudah ampunkan dan Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail) juga sudah ampunkan,” titah Sultan Ibrahim kepada Royal Press Office yang dimuatnaik di laman Facebook baginda hari ini.

Terdahulu bagnda menerima mengadap Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu di Istana Pasir Pelangi di sini.

Dalam pertemuan hampir sejam itu, Sultan Ibrahim turut bertitah bahawa baginda mementingkan kesejahteraan hidup rakyat dan kemakmuran negeri Johor melalui perpaduan serta pengukuhan muafakat Bangsa Johor.

Baginda turut memberi amaran keras kepada segelintir pihak supaya tidak memanjangkan lagi isu itu kerana dianggap selesai.

“Apa yang penting, kita perlu bergerak ke hadapan dan sentiasa mengutamakan perpaduan. Jangan cuba memecah-belahkan perpaduan yang sudah terbina selama ini,” titah baginda.

Pada 2015, Sultan Ibrahim pernah memberi amaran keras kepada Nazri supaya tidak campur urusan istana atau membuat kenyataan yang mengaitkan Institusi DiRaja Johor.

Laman Facebook JOHOR Southern Tigers sebelum itu memuatnaik posting Nazri turut mengadap Tunku Ismail.

Mengikut posting itu juga, Mohamed Nazri mengadap Sultan Ibrahim bagi meminta pandangan daripada baginda berhubung pentadbiran negara untuk masa akan datang.

Selain itu, Mohamed Nazri juga mengadap bagi memohon ampun daripada Tunku Ismail.- MalaysiaGazette.