Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. foto FAREEZ FADZIL, 15 MAC 2018

KUALA LUMPUR – Pemberian Pelan Perlindungan Mikrotakaful Jariyah kepada 384 penama dari Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membuktikan Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengabaikan golongan miskin dan berpendapatan rendah di bandar.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kerajaan sentiasa prihatin terhadap kehendak rakyat tidak mengira kaum, bangsa dan agama, selaras dengan tema Bajet 2018.

“Kerajaan telah menyediakan pelbagai perkhidmatan untuk kepentingan rakyat, meliputi kebajikan, pendidikan, keselamatan, perubatan termasuk penyediaan pembangunan infrastruktur bertaraf dunia serta meningkatkan kecekapan pengangkutan awam.

“Kerajaan mengutamakan kesejahteraan rakyat, di mana kesukaran yang dihadapi oleh golongan berpendapatan rendah akibat kenaikan kos sara hidup, difahami oleh kerajaan,” katanya berucap pada Majlis Pengagihan Pelan Perlindungan Mikrotakaful Jariyah Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Menara PT80, di sini, hari ini.

Tengku Adnan juga berkata, pelan perlindungan mikrotakaful itu merupakan sebahagian daripada inisiatif dan usaha kerajaan dalam memastikan kesejahteraan hidup rakyat dan memastikan tiada golongan terpinggir daripada kemakmuran ekonomi negara.

“Kerajaan terus peka dan prihatin akan impak kenaikan kos sara hidup kepada golongan berpendapatan rendah dan miskin.

“Kerajaan menyediakan jaringan keselamatan sosial bertujuan untuk mengagihkan pendapatan dan sumber kepada golongan yang memerlukan dalam masyarakat dan membantu menatasi kemiskinan,” katanya.

Katanya lagi, pemberian Pelan Perlindungan Mikrotakaful Jariyah secara percuma itu bagi membantu kelangsungan hidup golongan B40 khususnya sekiranya Ketua Isi Rumah (KIR) ditimpa musibah seperti meninggal dunia.

“Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dengan kerjasama PruBSN Prihatin menawarkan pelan perlindungan ini kepada (KIR) e-Kasih yang terpilih.

“Ia merupakan sebahagian usaha murni dan tanggungjawab sosial korporat PruBSN Prihatin,” katanya lagi. – MalaysiaGazatte.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast