MIAMI – Sebuah jambatan pejalan kaki yang baharu dibina di Universiti Antarabangsa Florida runtuh pada Khamis lalu dan mengorbankan empat mangsa, kata Ketua Bomba Miami-Dade County, Dave Downy.

Petugas penyelamat dan anjing pengesan cuba menjejaki mangsa yang terselamat di sebalik runtuhan konkrit dan besi waja selepas jambatan seberat 950 tan itu menghempap kenderaan di sebatang jalan tersibuk di South Florida.

Sekurang-kurangnya lapan kenderaan telah terperangkap di bawah runtuhan berkenaan dan lebih 10 mangsa dikejarkan ke hospital, kata para pegawai dan doktor dalam sidang media.

Menurut saksi, kenderaan-kenderaan terbabit sedang berhenti di lampu isyarat semasa jambatan berkenaan runtuh menimpa mereka pada jam 1.30 petang.

“Kami sedang berusaha mengorek lubang pada runtuhan tersebut bagi melihat ke dalam,” kata Ketua Jabatan Bomba Miami-Dade, Paul Estopian kepada pemberita.

Pada satu ketika, polis telah meminta helikopter-helikopter stesen televisyen meninggalkan kawasan kejadian bagi membolehkan pasukan penyelamat mendengar sebarang bunyi tangisan atau meminta pertolongan dari bawah struktur runtuhan itu, lapor  stesen tv CBS Miami.

Usaha menyelamat menjadi lebih sukar apabila keadaan sebenar jambatan tersebut tidak dapat dipastikan.

Jambatan sepanjang 53 meter itu menghubungkan universiti dengan bandar Sweetwater baharu siap dipasang dalam tempoh enam jam pada Sabtu lalu.

Ia merentasi sebatang jalan yang mempunyai lapan lorong, demikian menurut laporan yang dipaparkan di laman web universiti tersebut.-MalaysiaGazette