Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Rais Yatim (dua kiri) menerima sumbangan kepada UIAM Kampus Kuala Lumpur daripada Pemegang Amanah Yayasan Azman Hashim, Tan Sri Azman Hashim (dua kanan) sambil ditemani Rektor UIAM, Profesor Datuk Seri Zaleha Kamarudin (kanan) pada Perasmian Laman Azman Hashim dan Masjid Zabedah di UIAM Kampus Kuala Lumpur, Jalan Duta. foto FAREEZ FADZIL, 16 MAC 2018.

KUALA LUMPUR – Sejumlah RM5 juta disumbangkan Pengerusi AMMB Holdings Bhd (AmBank Group), Tan Sri Azman Hashim sebagai tajaan biasiswa kepada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selain pelaburan untuk universiti tersebut.

Sumbangan tersebut disalurkan menerusi IIUM Endowment Fund (IEF) dimana pelajar-pelajar cemerlang yang terpilih bakal menerima biasiswa tersebut untuk membiayai pendidikan dalam bidang masing-masing.

“Saya harap dengan biasiswa ini ia akan memberi motivasi dan menggalakkan para pelajar untuk meneruskan pengajian mereka… sokongan dan ilmu pengetahuan adalah penting untuk masa depan dan tanpa pendidikan seseorang itu tidak bermakna.

“Keutamaan diberikan kepada pendidikan dan biasiswa ini bukan sahaja kepada pelajar warga Malaysia tapi juga pelajar antarabangsa yang layak,” kata beliau semasa lawatan ke Institut Antarabangsa Pemikiran Islam Dan Tamadun (ISTAC), Jalan Duta hari ini.

Presiden UIAM, Tan Sri Rais Yatim juga mengucapkan terima kasih dan penghargaan ke atas kemurahan hati Azman serta memberi komitmennya untuk menggunakan biasiswa tersebut untuk membangunkan ketamadunan Islam dan bangsa Melayu khususnya.

“Kami memberi komitmen sepenuhnya untuk membangunkan pengajian dan penilaian ketamadunan Islam dan Melayu,” ujar beliau.

Untuk rekod, buat masa ini seramai 40 pelajar terpilih untuk menerima biasiswa dan beberapa pengambilan pelajar lain akan menyusul selepas ini.

Dalam majlis sama, UIAM juga menamakan halaman sempena nama Azman yang akan dikenali sebagai Halaman Azman Hashim dan masjid yang dinamakan sempena nama ibu tokoh korporat itu, Masjid Zabedah sebagai tanda penghargaan.

Daripada RM5 juta tersebut, sebanyak 30 peratus akan digunakan untuk tujuan biasiswa dan kajian pendidikan yang akan dijalankan di UIAM dan ISTAC, sementara 70 peratus baki akan digunakan untuk pelaburan dimana hasilnya akan disumbangkan kepada pihak universiti untuk rancangan masa depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast