COLOMBO – Pegawai-pegawai Sri Lanka berkata, mereka telah memansuhkan pengharaman Facebook selepas mengadakan rundingan dengan pengendali rangkaian sosial itu, seminggu selepas akses media sosial itu disekat kerana telah digunakan untuk menyemarakkan keganasan kaum.

Sekurang-kurangnya dua terbunuh dalam pertempuran minggu lalu apabila penganut Budha Sinhalese mengamuk dengan menyerang masjid serta harta milik orang Islam di daerdah Kandy, apabila seorang pemandu beragama Budha dibunuh oleh seorang muslim.

Sebahagian daripada kekerasan tersebut dicetuskan melalui posting-posting menghasut melalui Facebook, kata kerajaan yang mana pada 7 Mac lalu mengambil tindakan menyekat akses media sosial berkenaan termasuk Viber dan WhatsApp.

Pada asalnya, sekatan berkenaan sepatutnya dilakukan selama tiga hari sahaja namun telah berlanjutan tanpa memberitahu orang awam, kata pengguna.

“Dengan arahan saya, setiausaha saya telah berbincang dengan Facebook yang mana kami bersetuju bahawa platform ini tidak akan digunakan untuk menyebarkan kebencian dan mengapi-apikan keganasan,” kata Presiden Maithripala Sirisena di Twitternya.

Beliau telah mengarahkan regulator komunikasi membatalkan sekatan tersebut serta-merta.- MalaysiaGazette