KUALA LUMPUR – Pergerakan Wanita UMNO Malaysia membidas Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menuduh Perdana Menteri memusnahkan perjuangan asal UMNO selain menggelar Datuk Seri Najib Razak sebagai ‘raksasa’.
Ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, tindak tanduk bekas negarawan itu yang menyerang Najib secara agresif merupakan perbuatan yang mencalar imej pemimpin dan negara di mata dunia.
“Beliau bekas pemimpin yang pernah menjadi PM dan bersama-sama melalui saat mencabar dalam parti bersama, tetapi tindak-tanduk beliau mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Najib menyebabkan kami kesal.
“Hujah-hujah beliau (Tun M) tidak bersesuaian dan dikeluarkan secara beremosi ke atas pemimpin kita sebagai tindakan manjatuhkan imejnya,” katanya ketika ditemui pemberita di Kepong di sini mengulas kenyataan Mahathir ketika diwawancara agensi berita Barat baru-baru ini.
Shahrizat selaku Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita Jabatan Perdana Menteri hadir merasmikan Program KickStart@ProBiz bertujuan memberi pendedahan mengenai dunia keusahawanan kepada wanita di negara ini anjuran UMNO Bahagian Keong hari ini.
Dalam perkembangan sama Sharizat juga menyifatkan sayap wanita UMNO dan keseluruhan kepimpinan UMNO telah bersama Tun M sepanjang menjadi perdana menteri dan presiden parti keramat Melayu itu.
“Kita ahli UMNO semua pernah bersama beliau semasa zaman pemerintahannya. Dia berdepan macam-macam tohmahan yang terpaksa ditanggung dari luar,tetapi kami tetap teguh sebagai satu pasukan dan sebab itu dia boleh menjadi PM selama 22 tahun.
“Tetapi semasa Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi PM apa sudah jadi kepada anda (Tun M), wanita amat kesal dengan perbuatannya,” bidasnya.
Beliau mendesak Tun M menghentikan perbuatannya itu yang melampaui batasan menghina pemimpin negara.Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan biadab Tun M mengenai Najib Tun Razak sempena lawatan kerja perdana menteri itu ke Australia semalam.
Mahathir yang bercakap dalam temubual eksklusif ABC News, secara terbuka menuduh Najib sebagai raksasa dan mendesak Perdana Menteri, Australia Malcolm Turnbull menjauhkan diri daripada Najib.- MalaysiaGazette