Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis bergambar kenangan dengan peserta Program Aspirasi TN50 @Bagan Datuk di MAEPS Serdang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 18 MAC 2018.

SERDANG – Dua buah kilang besar kini sedang dirancang pembinaannya di Bagan Datuk yang akan merancakkan lagi pembangunan di kawasan Parlimen tersebut, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, dua kilang tersebut adalah kilang pemasangan kereta Tan Chong Motor dan kilang pemprosesan ikan tuna dan ia bakal menyediakan 6,000 peluang pekerjaan kepada penduduk Bagan Datuk.

“Hab kilang pembuatan, saya telah membincangkan dengan Tan Chong Motor yang telah kita rundingkan tanah Sime Darby di ladang dari Pekan Bagan Datuk ke jambatan baharu seluas 400 ekar telah dipersetujui oleh kerajaan negeri Perak.

“Perundingan harga sedang dijalankan untuk Tan Chong Motor membina kilang pemasangan kenderaan komersial dengan mewujudkan 4,000 pekerjaan baharu… rancangan sudah dibuat, cuma menunggu harga sahaja dan kita juga akan membina kilang pemprosesan ikan tuna yang akan menyediakan 2,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa program dialog TN50@BaganDatuk yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) pagi tadi.

Jelas Zahid, sebanyak RM2.3 bilion peruntukan sudah diluluskan untuk tujuan pembangunan di Bagan Datuk dan ternyata ia memberi manfaat besar kepada orang ramai di kawasan tersebut.

“Sebanyak RM2.3 bilion peruntukan telah masuk ke Bagan Datuk, bukan RM2.3 juta tapi adalah RM2,300 juta… ini adalah peruntukan kepada Bagan Datuk untuk bangunkan Bagan Datuk dan kita ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri.

“Ini satu kebenaran bukan igauan, disebutkan dalam bajet,” katanya.

Selain itu, tiga buah institusi pengajian tinggi juga sudah diluluskan pembinaannya di Bagan Datuk, iaitu Politeknik, Giatmara dan Kolej Komuniti yang dijadualkan siap menjelang 2020. – MalaysiaGazette