Ahmad Zahid Hamidi

SERDANG – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyindir Tun Dr Mahathir Mohamad dengan membayangkan akan bersara daripada karier politiknya sebelum 93 tahun dan memberikan jawatannya digalasnya kepada pemimpin pelapis yang lain.

Walaupun Zahid tidak secara langsung memetik nama bekas perdana menteri berusia 93 tahun itu dalam membuat sindiran tersebut namun diketahui umum bahawa Mahathir berhasrat menjadi perdana menteri semula sekiranya Pakatan Harapan merampas Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Insyaallah, saya akan berhenti sebelum umur saya 93 tahun.

“Cukuplah, bagi kepada anak-anak Bagan Datuk yang lain sebab pilih pelapis yang kedua dan pelapis ketiga sebagai kepentingan politik di Bagan Datuk… saya tidak mahu menongkat ke langit,” kata beliau semasa program dialog TN50@BaganDatuk yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) pagi tadi.

Dalam pada itu, Zahid menggesa supaya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hutan Melintang dalam Parlimen Bagan Datuk dirampas semula dalam pilihan raya umum setelah dua penggal berada di tangan pembangkang.

“Dua penggal kita kalah di Hutan Melintang, Insyaallah di Hutan Melintang, jumlah pengundi sudah bertambah kepada 32,000 dan kita rampas semula kerusi tersebut di bawah panji BN,” ujarnya.

Beliau turut mengharapkan pengundi Bagan Datuk membuat pertimbangan yang lebih baik pada PRU14, malah sejak dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri banyak pembangunan sudah dibawa ke negeri tersebut.

“Sebulan sekali saya balik, dia balik lima tahun sekali… apa pengundi Bagan Datuk nak lagi, bila Allah membuka hati Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk meletakkan saya menjadi Timbalan Perdana Menteri, saya membawa segala-galanya ke Bagan Datuk untuk memajukan rakyat Bagan Datuk.

“Bila lagi orang Bagan Datuk nak jadi TPM?” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast