Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar hadir pada Karnival Usahawan Muda Malaysia di Ampang Point, Ampang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 18 MAC 2018

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) Selangor menyifatkan spekulasi BN sudah memiliki tiga nama calon Menteri Besar sekiranya berjaya menawan semula negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sebagai ramalan semata-mata.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar yang enggan mengesahkan tiga nama itu hanya sekadar melemparkan senyuman.

“Siapa yang cakap tiga nama ini? Itu ramalan sahaja. Saya tidak mahu komen. Biarlah pucuk pimpinan parti membuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Usahawan Muda Malaysia anjuran Pertubahan Usahawan Muda Malaysia (PUMMA) di Ampang Point di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden PUMMA, Hasry Sham Chasmen dan Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunus.

Beliau mengulas laporan media semalam yang menyatakan tiga nama calon BN dari UMNO iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan; ADUN Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz dan ADUN Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi, merangkap Ahli Parlimen Sungai Besar bakal memimpin Selangor.

Sebelum ini spekulasi tercetus apabila nama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bakal menjadi Menteri Besar Selangor selain Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Adnan Md. Ikshan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast