Home Politik Guan Eng jangan lagi pura-pura tak kenal ‘Datuk Seri’

Guan Eng jangan lagi pura-pura tak kenal ‘Datuk Seri’

Zulkifli Mohd Noor

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng digesa tidak lagi berpura-pura seolah tidak mengenali secara peribadi seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas tular dua gambar intim mereka.

Bekas Naib Pengerusi DAP, Zulkifli Mohd Noor berkata, dua gambar tersebut secara jelas menimbulkan persoalan sejauh mana hubungan ahli perniagaan itu denga Ketua Menteri Pulau Pinang tersebut.

Lebih mencurigakan individu tersebut dikatakan menerima wang suapan bagi projek terowong dasar laut di negeri tersebut.

“Guan Eng jangan lagi berpura-pura atau berlakon seolah-olah tidak mengenali ahli perniagaan tersebut… tidak perlu berdolak-dalik lagi dengan memberikan alasan tidak tahu siapa ahli perniagaan tersebut.

“Pelbagai persoalan kini timbul apakah hubungan istimewa antara kedua-dua mereka, sudah pasti orang ramai nak tahu dimana gambar tersebut diambil, di rumah siapa atau di hotel mana dan dalam kereta pula, ke mana sebenarnya hendak pergi bersama-sama ketika waktu tersebut?” kata beliau ketika dihubungi.

Menurut Zulkifli, alasan-alasan yang diberikan oleh Guan Eng sebelum ini yang mengatakan tidak mengenali ahli perniagaan itu tidak boleh diterima sama sekali dan beliau perlu tampil untuk menjelaskan tentang gambar tersebut.

“Guan Eng kena tampil perjelaskan dan jangan hanya menggunakan alasan tidak mengenali ahli perniagaan itu… saya musykil ada udang disebalik batu selepas gambar-gambar tersebut tular.

“Jika Guan Eng mengenali ahli perniagaan tersebut, mustahil beliau tidak tahu siapa yang dibayar oleh syarikat konsortium,” ujarnya.

Ahli perniagaan berumur 38 tahun itu adalah individu yang ditahan SPRM pada akhir bulan lalu bagi membantu siasatan kes menerima wang berjumlah RM19 juta untuk menutup siasatan projek mega terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Kemudiaan tular penyebaran sekeping gambar yang memaparkan Guan Eng berdiri di sebelah ahli perniagaan itu, yang dipercayai dirakamkan di kediaman “Datuk Seri” itu.

Pada 11 Mac lalu, Pejabat Ketua Menteri menafikan Guan Eng mengenali secara dekat ahli perniagaan berkenaan.

Pejabat Ketua Menteri dalam kenyataannya berkata, sebagai seorang pemimpin yang dikenali ramai, Guan Eng berhak untuk merakamkan gambar kenangan bersama sesiapa yang dikehendakinya.

Terbaru, sekeping lagi gambar tular yang menunjukkan Guan Eng dan ahli perniagaan terbabit ketika menaiki kereta dipercayai milik Pengerusi Consortium Zenith, Datuk Zarul Ahmad Zulkifli, disebar seorang pengguna Facebook bernama Sarah Farhana.

Pada keterangan gambar itu, Sarah Farhana turut memaklumkan ia dirakamkan pada Ogos tahun lalu. – MalaysiaGazette