Tun Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Dalam ura-ura Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ingin meletakkan pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Langkawi, Putrajaya atau Kubang Pasu, timbul pula pelawaan parti itu untuk bertanding di Parlimen Titiwangsa.

Menurut Timbalan Ketua Pemuda PPBM bahagian Titiwangsa, Muhammad Syafiq Shabaruddin berkata, cadangan kawasan itu untuk meletakkan calon anak tempatan adalah satu langkah yang silap kerana gabungan Pakatan Harapan (PH) jarang turun padang di Titiwangsa.

Justeru itu, Tun Mahathir adalah individu yang paling sesuai untuk diletakkan bagi merebut kerusi itu daripada Barisan Nasional (BN).

“Sebagai pengundi di Parlimen Titiwangsa saya mengharapkan Pakatan Harapan tidak silap dalam mencatur strategi dengan menurunkan calon anak tempatan untuk bertanding di sini.

“Sekiranya Pakatan Harapan tiada tokoh anak tempatan untuk diketengahkan, saya ingin mengalu-alukan Tun Dr. Mahathir sebagai negawaran untuk turun bertanding di Parlimen Titiwangsa,” jelas Muhammad Syafiq dalam satu kenyataan hari ini.

Kerusi Parlimen Titiwangsa adalah milik Datuk Johari Abdul Ghani yang juga Menteri Kewangan II.

Johari yang dicalonkan BN atas kapasiti anak tempatan berjaya merampas kerusi Parlimen itu daripada Pas selepas menewaskan calon parti itu, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzami dengan majoriti kecil, iaitu 866 undi.

Kerusi parlimen Titiwangsa sebelum itu disandang Dr Lo’Lo’ Mohamad Ghazali yang meninggal dunia pada 2011.

Parlimen Titiwangsa memiliki jumlah pengundi Melayu yang agak tinggi iaitu sebanyak 68 peratus diikuti Cina (20 peratus), India (10 peratus) dan lain-lain bangsa (2 peratus).

“Jujurnya Pakatan Harapan kurang kelihatan bergerak di Parlimen Titiwangsa, justeru menurunkan calon yang bukan anak tempatan adalah strategi yang silap dan akan menyumbang kepada kemenangan BN,” katanya.

Kenapa parti pimpinan Tan Sri Muhyididn Yassin itu mahu Mahathir bertanding di Titiwangsa?

Buat masa ini, Mahathir masih berteka-teki untuk menerangkan kawasan mana yang beliau akan tandingi pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14). – MalaysiaGazette