Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad
Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad

KUALA LUMPUR – Tindakan kerajaan untuk mewartakan rang undang-undang (RUU) berita palsu jelas mengejutkan gabungan pembangkang.

Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad (Kuala Terengganu-PAN) berkata, langkah itu jelas akan mematahkan usaha pembangkang untuk terus memainkan isu mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Bila rang undang-undang berita palsu ini diluluskan nampak gayanya 1MDB tidak boleh disebut langsung.

“Jadi bagaimana kita nak tahu apa yang berita sah dan berita palsu. Bila undang-undang berita palsu ini diluluskan kita tidak boleh bercakap apa-apa tentang 1MDB,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Ahli Parti Amanah Negara (PAN) itu berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari awal hari ini.

Jailani berkata, apa-apa berita mengenai 1MDB yang tidak disahkan oleh kerajaan BN akan dianggap sebagai berita palsu.

Menurut Jailani, bukan sahaja isu 1MDB malah apa juga berita mengenai kerajaan BN yang tidak sah akan dianggap tidak sahih.

“Sekarang ahli Parlimen tidak boleh bercakap apa-apa tentang 1MDB di dalam Dewan Rakyat, semua soalan tentang isu itu ditolak. Sekarang ini apabila akta berita palsu ini akan diluluskan maknanya apa yang menteri cakap apa yang tidak ada dalam laporan PAC, dikira berita palsu.

“Kalau kita tidak tahu apa yang ada, dan tidak ada bagaimana kita nak cakap. Ini tidak munasabah di mana situasi untuk menutup isu 1MDB,” soal Raja Kamarul.

Julai tahun lalu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia bertindak menolak soalan-soalan daripada gabungan pembangkang berhubung isu 1MDB.

Pandikar berkata langkah untuk menolak soalan-soalan tersebut bersandarkan kepada Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat mengikut Perkara 62 (1) Perlembangaan Persekutuan. -MalaysiaGazette