Home Nasional Jangan pasang bendera parti pada tiang, pencawang elektrik

Jangan pasang bendera parti pada tiang, pencawang elektrik

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) meminta parti-parti politik yang akan bertanding dalam Pilihanraya Umum Ke-14 supaya tidak memasang bahan-bahan kempen seperti bendera atau sepanduk parti di tiang, kabel, peti pembekal, pencawang dan pepasangan elektrik lain dalam keghairahan berkempen.

Perbuatan itu mengundang bahaya kerana risiko terkena renjatan elektrik dan mungkin menyebabkan gangguan bekalan elektrik jika percikan arka (flashover) berlaku, kata Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Roslan Ab. Rahman.

Perbuatan berbahaya itu juga menyalahi peruntukan Seksyen 37, Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), iaitu merosakkan pepasangan elektrik.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama parti-parti politik supaya tidak meletakkan tiang bendera atau sebarang sepanduk berhampiran kabel atau pencawang elektrik.

“Walaupun tiang bendera yang digunakan diperbuat daripada buluh, ia tetap berisiko untuk terkena renjatan,” katanya.

Roslan turut mengingatkan orang ramai akan bahaya memegang atau membawa tiang bendera di bawah mana-mana pepasangan elektrik kerana ia boleh menarik arus elektrik, sekali gus menyebabkan renjatan elektrik pada mereka yang berada berhampiran.

Menurutnya, TNB akan membuat pemantauan serta membuang bahan kempen yang diletakkan berhampiran pepasangannya jika berisiko tinggi kepada pengguna.

Orang ramai yang melihat sebarang keadaan yang boleh mengancam keselamatan atau menjejaskan bekalan elektrik, diminta merujuk Facebook TNB CareLine atau menghubungi TNB Careline di 15454 agar tindakan sewajarnya dapat diambil dengan segera. – MalaysiaGazette