Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melambai tangan kearah sebahagian orang ramai yang hadir pada Program Sentuhan Rakyat bersama Penduduk Kuala Selangor di Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 3, Kuala Selangor, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 21 MAC 2018.

KUALA SELANGOR – Kerajaan negeri Selangor diselar apabila mendabik dada mendakwa kemajuan negeri itu hasil titik peluh dan pentadbiran yang baik oleh parti pembangkang.

Sebaliknya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemajuan negeri tersebut yang tersergam pada hari ini adalah hasil usaha Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan persekutuan termasuklah menjadikan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam sebagai kampus induk.

“Kita harus lihat ini bukan namanya Puncak Alam bila UiTM dinaikkan ketika itu bukan kerajaan yang ada sekarang yang minta Unisel ada pun kerajaan yang ada sekarang yang minta.

“Bukan saya nak menidakkan atau memburukkan parti atau organisasi itu, bukan langkah saya tetapi saya menyatakan kebenaran jika kononnya UiTM di Puncak Alam ini sebagai kampus induk dengan fakulti perubatan ini semua usaha Datuk Seri Idris Jusoh.

“Senang-senang nak kata ini disebabkan oleh kepimpinan yang baik oleh kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada  program Sentuhan Rakyat di Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 3.

Menyifatkan kerajaan negeri Selangor yang dipimpin oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai kelawar yang keluar pada musim buah, demikianlah khidmat yang tidak konsisten diberikan kepada rakyat .

“Duit rizab simpan di khazanah negeri sekarang baru nak keluar, sebelum itu jalan berlubang di banyak tempat sebab nak tunggu pembubaran maka seluruh jentolak akan ditolak batu kelikir di jalan tar untuk mengatakan bahawa kepimpinan yang amat prihatin kepada rakyat ketika musim buah telah sampai maka kelawar-kelawar pun berkeliaranlah,” ujarnya.

Demi menjamin pembangunan di Puncak Alam, kata Ahmad Zahid, lebih 5,000 pengundi perlu menjadi penyumbang kepada kemenangan Barisan Nasional (BN) di Kuala Selangor pada pilihan raya akan datang.

“Seramai 5,700 orang di sini merupakan faktor utama untuk menentukan Puncak Alam ini akan terus berkesinambungan dari segi pembangunan.

“Oleh itu bukan hanya kita nak mempertahankan Kuala Selangor ini, kita mahu sesiapa yang akan terpilih kelak kita berjanji akan memberikan perkhidmatan yang baik untuk penduduk Kuala Selangor,” tambahnya. – MalaysiaGazette