Home Nasional Lagu GST: Keterangan Guan Eng akan diambil

Lagu GST: Keterangan Guan Eng akan diambil

Lim Guan Eng ketika menyanyi dan menari lagu ABC yang menghina kerajaan semasa program pelancaran kelas tuisyen di Jelutong, Sabtu lalu.

GEORGE TOWN – Polis akan merakamkan kenyataan Lim Guan Eng berhubung laporan yang dibuat terhadapnya kerana menghasut kanak-kanak untuk membenci kerajaan dalam satu program pelancaran kelas tuisyen di Jelutong, Sabtu lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A. Thaiveegan berkata, kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang itu direkodkan dalam masa terdekat.

Menurutnya, sudah menjadi prosedur polis untuk merekodkan keterangan individu yang terlibat termasuk Ketua Menteri yang didakwa terlibat dalam video berkenaan bagi melengkapkan kertas siasatan kes.

Polis telah menerima sekurang-kurangnya tiga laporan setakat ini.

Semasa program itu, Guan Eng telah naik ke pentas dan menari lagu ABC dengan menyindir kerajaan kerana liriknya diubahsuai dengan meletakkan perkataan GST dan 1MDB.

Majlis itu dihadiri oleh kanak-kanak dan ibu bapa.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (MACC) kerana menggunakan Internet untuk menyiarkan kandungan yang lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam atau menyinggung perasaan dengan niat untuk mengganggu, menyalahgunakan, mengancam atau mengganggu orang lain. – MalaysiaGazette