Home Dunia Kami bersalah – Mark Zuckerberg

Kami bersalah – Mark Zuckerberg

Mark Zuckerberg. foto CBC

CALIFORNIA – Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg mengakui rangkaian media sosial itu melakukan kesilapan yang menyebabkan berjuta-juta data pengguna Facebook mereka yang dieksploitasi oleh perunding politik, Cambridge Analytica.

Cambridge Analytica dituduh secara tidak wajar menggunakan data bagi pihak pelanggan politik.

Dalam kenyataan pertama mengenai skandal itu, Zuckerberg melalui catatan Facebook mengakui berlaku “pelanggaran kepercayaan”.

Beliau juga berjanji untuk memperbaiki keadaan demi memelihara maklumat pengguna.

“Kami mempunyai tanggungjawab untuk melindungi data dan jika kami tidak mampu, kami tidak layak memberi perkhidmatan kepada anda.

“Saya memulakan Facebook dan pada akhirnya kami bertanggungjawab apa yang berlaku pada platform ini,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan akan menangani masalah lalu dan semasa dengan melakukan beberapa perkara.

Ia termasuk menyiasat semua aplikasi Facebook yang mempunyai akses kepada sejumlah besar maklumat sebelum platform diubah “untuk mengurangkan akses data secara mendadak” pada tahun 2014 dan menjalankan audit lengkap mana-mana aplikasi dengan aktiviti yang mencurigakan. – MalaysiaGazette