Home Nasional Mazlan Aliman ditahan

Mazlan Aliman ditahan

JOHOR BAHRU – Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak) yang juga bekas Anggota Majlis Tertinggi Parti Amanah Negara (PAN) Mazlan Aliman ditahan polis di rumahnya di Felda Bukit Ramun, dekat Kulai, kira-kira 1.30 pagi ini.

Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan yang mengesahkan tangkapan itu berkata, Mazlan kini sedang dibawa ke mahkamah di Jalan Duta, Kuala Lumpur untuk perintah reman.

“Pagi tadi, selepas (Mazlan) ditangkap, beliau dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai untuk soal siasat. Selepas itu, saya berkesempatan ke IPD Kulai untuk berjumpa dengan pegawai penyiasat kes dan telah diberitahu bahawa Mazlan akan dibawa ke IPD Sentul sebelum ke mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur untuk perintah reman.

“Saya percaya penahanan beliau itu berkemungkinan bersangkut paut dengan laporan polis dibuat isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menerusi peguamnya, Noor Hajran Mohd Noor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur pada Isnin lalu,” katanya.

Laporan polis yang dibuat Rosmah pada Isnin lalu adalah susulan sebuah video yang dimuat naik dalam Youtube bertajuk “Mazlan Aliman Amanah-Pecah Rahsia: Isteri Najib Razak di belakang Projek Ikan Sturgeon yang Lingkup”.

Video itu, menurut peguam Rosmah, telah menjejaskan reputasi dan integriti anak guamnya kerana secara terang-terangan menuduh Rosmah terbabit dalam projek penternakan itu. – MalaysiaGazette