JPM

KUALA LUMPUR – Laporan portal berita  mengenai pengumuman calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak sahih.

Pejabat Perdana Menteri hari ini mengesahkannya menerusi kenyataan media yang turut menyifatkan berita mengatakan pengumuman akan dibuat 2 April sebagai spekulasi semata-mata.

“Pejabat Perdana Menteri ingin menjelaskan laporan akhbar hari ini bahawa pengumuman calon Pilihan Raya Umum Ke-14 akan dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 2 April hanya merupakan satu spekulasi pihak media,” katanya.

Tersebar hari ini berita mengenai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan menyampaikan surat watikah kepada calon yang akan bertanding di 22 kerusi Parlimen di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur.

Tarikh tersebut lima hari sebelum pelancaran manifesto BN iaitu 7 April.

Pada PRU-13, Najib melancarkan manifesto parti 6 April 2013 iaitu 28 hari sebelum hari mengundi.

Manakala PRU12 pula pelancaran manifesto BN disempurnakan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 28 Februari 2008, 11 hari sebelum mengundi.-MalaysiaGazette