Mas Ermieyati Samsudin

MELAKA – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diselar agar tidak bersikap bongkak dan ego dalam krisis air bersih terawat di Selangor yang tidak berkesudahan kerana ia melibatkan isu rakyat yang perlu diberi perhatian serius.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, kenyataan Mohamed Azmin bahawa beliau bersedia ‘mencampak’ Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Dr Zaini Ujang ke dalam empangan jika terbukti kerajaan negeri di pihak yang benar berkenaan isu air dilihat tidak menggambarkan kedudukannya sebagai seorang pemimpin yang berkredibiliti.

“Pembangkang hari ini bila dalam keadaan terdesak baru ingin meminta bantuan kerajaan persekutuan untuk menyelesaikan masalah yang timbul termasuk isu air, “ katanya.

Mas Ermieyati, yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan kebudayaan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran koleksi tudung Feeza Anggun 2018 yang turut dihadiri Pengasas Feeza Anggun, Nor Afizah Abu, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mohamed Azmin yang ingin ‘mencampak’ Zaini ke dalam empangan berkaitan krisis air di negeri itu ketika berucap di Karnival Himpunan Rakyat di Stadium Malawati, Shah Alam, pada 17 Mac lepas. – Bernama