Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (tengah) memeriksa barisan pada Sambutan Hari Polis ke-211 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 25 MAC 2018.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyangkal tuduhan sesetengah pihak yang cuba mewujudkan persepsi negatif kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) kononnya menjadi pak turut kerajaan.

Beliau menyifatkan dakwaan anggota dan pegawai PDRM makan gaji buta dan membiarkan kadar jenayah di negara semakin meningkat juga tuduhan tidak berasas.

Kata beliau, kerajaan sedia secara ikhlas akan terus memperjuangkan kepentingan dan kebajikan warga PDRM sejajar dengan keperluan negara dalam menjamin keselamatan dan keamanan rakyat.

“Ini tuduhan ternyata tidak berasas. Terbaharu bekas pemimpin negara berusia 93 tahun juga mendakwa kononnya polis bersalah mendorong beliau memecat Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sehingga ia dikecam Tan Sri Rahim Nor yang ketika itu Ketua Polis Negara.

“Tetapi kejayaan PDRM menurunkan kadar indeks jenayah 53 peratus sejak Dasar Transformasi Negara jelas mengenepikan segala pandangan serong dan tuduhan tak berasas pihak tertentu ke atas PDRM,” katanya semasa berucap menyempurnakan Sambutan Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-211 di Pusat Latihan Polis, Jalan Semarak hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan  timbalannya, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa.

Dalam perkara sama, Najib juga menyatakan penghargaan kepada PDRM yang merekodkan penurunan jenayah indeks tahun 2017 iaitu kepada 13, 186 kes atau 11.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Selain itu katanya kejayaan PDRM yang tangkas memerangi ancaman militan Daesh sejak tahun 2013 apabila sehingga tahun 2017 seramai 369 orang yang menyebarkan elemen Daesh melibatka rakyat tempatan dan asing berjaya ditangkap juga satu pencapaian membanggakan.

Beliau turut memuji PDRM yang mengadakan latihan simulasi lima fasa utama dan sudah bersiap sedia hadapi segala kemungkinan dalam masa PRU-14 selain berjaya mengenalpasti 1,100 individu yang bakal melakukan kekecohan mengejut minit akhir semasa pilihan raya.

Katanya, kerajaan bagi memastikan PDRM dan segala kepentingan serta kebajikan anggotanya akan terus diperjuangkan kerajaan demi menjamin keselamatan kesejahteraan negara.

Tegas beliau, beberapa usaha terbaharu termasuklah Pusat Kaunter Messaging Center PDRM sedang menyumbang dalam menangani propaganda dan ekstremisme dalam media sosial mengangkat imej polis.

Dalam masa yang sama Perdana Menteri turut mengumumkan buah tangan kepada warga PDRM iaitu kelulusan projek pembaikian seluruh kuarter dalam Pulapol KL.

“Saya juga ingin buat beberapa pengumuman sebagai buah tangan PDRM kerana tidak ingin tuan puan pulang dengan tangan kosong iaitu maka sukaticita saya umumkan peruntukan sebanyak RM15 juta khusus untuk kerja pembaikan di seluruh kuarters dalam Pulapol KL ini.

“Kedua, Skim Pelaburan Amanah Saham Bumiputera iKOP diwujudkan kepada warga PDRM yang merupakan anggota koperasi polis menerusi Permodalan Nasional Berhad  kerajaan turut menyediakan dana khas ASB berjumlah RM1.5 bilion.

“Terbaharu kerajaan telah meluluskan sebanyak 10,000 unit untuk anggota Polis dibawah Skim Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dengan 840 unit khusus untuk polis dan ia akan disusuli tambahan 405 unit  di Putrajaya untuk polis antara harga RM120,000 hingga RM300,000,” katanya. – malaysia Gazette