Carles Puigdemont

BERLIN – Bekas Pemimpin Catalan, Carles Puigdemont dicekup polis Jerman pada semalam.

Carles yang menghilangkan diri dari Sepanyol sejak lima bulan lalu berdepan hukuman penjara 25 tahun atas tuduhan menganjurkan referendum pemisahan haram pada tahun lalu.

Puigdemont memasuki Jerman daripada Denmark setelah meninggalkan Finland pada Jumaat lalu selepas menyedari polis akan menahan beliau menerusi proses ekstradisi yang dituntut Sepanyol.

Lebih 10,000 warga Catalan memakai riben kuning sebagai menunjukkan tanda solidariti kepada pemimpin mereka yang dipenjarakan kerajaan Sepanyol.

Mereka berarak di Barcelona pada petang semalam sambil berkata ‘Puigdemont adalah presiden kami, bebaskan pemimpin kami yang menjadi tahanan politik”.

Dalam kejadian itu tiga orang awam ditahan dan 50 orang cedera ringan semasa bertembung dengan polis yang cuba meleraikan mereka.

Pada Jumaat lalu Mahkamah Persekutuan Sepanyol memerintahkan 25 pemimpin Catalan yang ditahan polis dibicarakan kerana cuba memberontak, menyeleweng dan tidak mematuhi undang-undang negeri, sekali gus mengeluarkan waran tangkap terhadap Puigdemont dan empat ahli politik lain. – MalaysiaGazette