BEIJING – Sebuah keretapi dipercayai membawa pemimpin Korea Utara tiba di Beijing, menurut laporan media Jepun.
Sementara itu, Bloomberg pula berkata, keretapi itu membawa Kim Jong-un, yang memetik daripada tiga sumber.
China merupakan satu-satunya sekutu Pyongyang tetapi hubungan kedua negara itu tegang berikutan isu senjata nuklear.
Jong-un dipercayai tidak pernah meninggalkan Korea Utara sejak mengambil alih pemerintahan negara itu sejak tujuh tahun lalu.
Setakat ini tidak ada kenyataan rasmi dari media China mahu pun Korea Utara.
Bagaimanapun jika spekulasi itu benar, ia akan menyaksikan perkembangan diplomatik yang signifikan.
“Kerajaan sedang berkomunikasi secara rapat dengan negara-negara yang relevan dan memantau perkembangan itu,” kata Kerajaan Korea Selatan.
Rakaman dari Nippon News Network menunjukkan keretapi hijau dengan garis-garis berwarna kuning, menyerupai keretapi yang digunakan oleh Kim Jong-il, bapa Jong-un ketika melawat Beijing pada tahun 2011.
Perjalanan Kim Jong-il ke China hanya disahkan selepas beliau berlepas.
Pengurus sebuah kedai di luar stesen keretapi Beijing menggambarkan adegan “luar biasa” berlaku pada petang Isnin selepas mendapati anggota polis penuh berada di hadapan stesen keretapi dan stesen juga dihalang dari dalam.
Tidak lama kemudian sebuah kenderaan diiringi polis keluar dari stesen berkenaan.
Jong-un juga dijangka menemui rakan sejawatnya, Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in, bulan depan. – MalaysiaGazette