Home Nasional Penggerak industri pelancong disaran tingkat kualiti produk

Penggerak industri pelancong disaran tingkat kualiti produk

KUALA LUMPUR – Penggerak industri pelancongan perlu komited bagi mengekalkan daya saing dan pertumbuhan industri dalam usaha menarik lebih ramai pelawat ke negara ini.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, salah satu usaha yang boleh dilakukan adalah menambah baik produk pelancongan menerusi Program Hari Produktiviti Pelancongan (Tourism Productivity Day).

Jelasnya, ini kerana sektor pelancongan terus kekal sebagai agenda penting yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berucap pada Majlis Perasmian Tourism Productivity Nexus di Malaysia Tourism Centre (MaTiC), Kuala Lumpur foto IQBAL BASRI, 27 MAC 2018

“Saya yakin dan percaya penghasilan produk-produk pelancongan dan pengalaman pengunjung yang berkualiti di samping mengukuhkan produktiviti akan memastikan pertumbuhan industri ini terus rancak dan mampan.

“Untuk mencapai matlamat ini, pihak industri dan kerajaan perlu terus mengukuhkan kerjasama dan menyelaras usaha dua bidang untuk membangunkan produk-produk baru dan memberi pengalaman pengunjung yang unik dan mempunyai kelainan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian program itu hari ini.

Program Hari Produktiviti Pelancongan hasil akan menjadi medium untuk penggiat industri membuat aduan masalah yang dihadapi dalam masa yang sama membuat rujukan berkaitan pelancongan menerusi program Nexus Produktiviti yang juga dilancarkan hari ini.

“Saya mengambil maklum bahawa Nexus Produktiviti juga menyediakan sesi konsultasi dalam bentuk elektronik iaitu e-Productiviti Gain Measurement (PGM) kepada penggiat industri pelancongan. Juga terdapat konsultasi untuk menaikkan prestasi perniagaan iaitu melalui rangka kerja Business Excellence,” tambah beliau.

Usaha memantapkan industri pelancongan, jelas Nazri, seiring dengan sasaran memperolehi 36 juta pelancong pada tahun 2020.

Jumlah ini, ujarnya, akan menjana pendapatan negara sebanyak RM168 bilion. -MalaysiaGazette