Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Kehadiran Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dalam siri taklimat Rang Undang-undang Anti Berita Tidak Benar adalah diluar pengetahuan Dewan Rakyat.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Azalina Othman Said, pihak Parlimen tidak menjemput bekas perdana menteri itu untuk hadir sidang taklimat yang dibuat oleh Pejabat Peguam Negara.

“Kita tidak ada masalah untuk Mahathir datang, tapi dia tak dijemput untuk hadir. Cuma ahli parlimen sahaja yang dijemput untuk hadir taklimat,”

“Saya tidak tahu bagaimana Tun Mahathir boleh hadir semasa taklimat,” katanya selepas selesai sesi taklimat kepada pengamal media dan wartawan di Bilik Taklimat, di Bangunan Parlimen hari ini.

Pejabat Peguam Negara dan kerajaan hari ini menjalankan siri taklimat kepada ahli parlimen terutamanya pembangkang dan pada media untuk mengetahui maklumat sahih mengenai pelaksanaan akta tersebut.

Awal hari ini, Dr Mahathir hadir di Parlimen bagi menghadiri sesi taklimat berkenaan pelaksanaan RUU Antiberita Tidak Benar.

Beliau hadir diringi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan beberapa pemimpin pembangkang.

Bekas perdana menteri itu sebelum ini dilaporkan akan mengadakan sidang media di pejabat pembangkang namun bertindak ke sesi taklimat itu. -MalaysiaGazette.